Wednesday, November 14, 2012

PERUTUSAN MAAL HIJRAH PRESIDEN PGSM




Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434H dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 15 November 2012 Masehi.

Mungkin ramai yang tidak berapa perasan perubahan tahun Hijrah, kerana seperti biasa kita lebihkan tahun Masehi berbanding tahun Hijrah. Berapa ramai dari kita yang menggunakan tarikh Hijrah dalam urusan harian mereka? Walhal permulaan tahun hijriah adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dalam sejarah ketamadunan manusia, dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, demi menegakkan agama Allah s.w.t.

Peristiwa hijrah ini merupakan satu peristiwa yang agung sehingga ia menjadi pilihan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a (Khulafa’ al-Rashidin ke-2) untuk diabadikan sebagai titik permulaan kalendar Islam.

Hijrah menjadi satu peristiwa yang amat besar ujian dan dugaannya. Kejayaan hijrah Nabi SAW menjadi faktor utama perkembangan Islam ke seluruh dunia. Kejayaan hijrah juga adalah bukti kesabaran Rasulullah SAW dan para sahabat menerima perbagai ujian, penderitaan fizikal, emosi dan mental, selama lebih 12 tahun berada di Mekah.

Iktibar dari peristiwa agung ini, kita sebagai Peguam Syarie dan Pelatih Dalam Kamar juga dituntut supaya bersabar dalam menghadapi apa jua ujian dan cabaran hidup. Dalam profesion kita yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat awam, kawan dan lawan, serta Mahkamah, sudah pasti banyak ujian dan dugaan yang dihadapi. Cabaran yang paling besar bagi kita adalah untuk berkata yang hak dan benar, menegakkan yang hak, dan meletakkan hak kepada orang yang berhak.

Kesabaran adalah tuntutan Allah s.w.t. Firman-Nya : “Wahai sekalian orang-orang yang beriman sabarlah kamu sekalian dan teguhkanlah kesabaranmu itu.” (QS. Ali Imran:200)

Ujian dan cabaran ini adalah janji Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya : “Sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS. Al Baqarah:155).

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman : “Sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu sekalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar di antara kamu sekalian.” (QS. Muhammad:31)

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini mengajar kita bahawa sekiranya pelbagai usaha dan strategi telah dilakukan, masih buntu atau tidak juga memperolehi jalan penyelesaian, kita dianjurkan untuk berhijrah, sama ada hijrah sikap kita atau pun hijrah ke tempat yang lebih sesuai. Semoga dengan hijrah kerana Allah SWT dapat memberi lebih kejayaan untuk kita dan agama.

Interpretasi Hijrah juga bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Apa yang penting untuk kita ingati dan kita kenangkan sempena Hijrah ini bukanlah sambutan terhadap peristiwa tersebut, tetapi dengan meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Marilah kita bersama-sama berhijrah ke arah kebaikan, dan moga-moga tahun 1434 Hijrah ini mendatangkan kebaikan yang banyak buat kita.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434H.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
1 Muharam 1434H bersamaan 15 November 2012.