Tuesday, October 23, 2012

Transformasi hukuman lebih adil


Peguam Syarie Menulis, Berita Harian, 24/10/2012

Oleh Moeis Basri

Undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil

Bermula daripada dasar Perdana Menteri memperkenalkan transformasi dalam pentadbiran beliau, beberapa sektor telah melalui transformasi juga dan tidak ketinggalan ialah undang-undang dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta beberapa undang-undang lain. Baru-baru ini turut dicadangkan pindaan undang-undang sivil berkaitan hukuman kesalahan rogol statutory bertujuan memberi garis panduan supaya pesalah jenayah berkenaan dikenakan hukuman berat.

Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran" - Surah Ali-Imran (ayat 110)
Secara semula jadi sifat peraturan undang-undang itu ialah apabila sesuatu kesalahan menjadi isu besar dalam negara atau jenayah telah berlaku secara berleluasa, sesuatu hukuman terhadap jenayah berkenaan akan dipinda menjadi lebih berat.

Tujuannya untuk memberi amaran atau mencegah masyarakat daripada melakukan kesalahan itu. Ini dapat dilihat daripada contoh klasik kesalahan mengedar dadah apabila telah menjadi satu fenomena global yang memberi kesan kepada kebinasaan generasi muda khususnya.

Hukuman kesalahan jenayah berkenaan dikanunkan sehingga boleh membawa kepada hukuman mati mandatori. Begitu juga kesalahan penculikan pada suatu ketika dulu menjadi satu fenomena menakutkan masyarakat, hukuman kesalahan itu turut dipinda membawa kepada hukuman mati.

Sesungguhnya tindakan kerajaan mengubah atau meminda undang-undang demi kebaikan umum terutama demi memelihara keamanan dan keharmonian amat dialu-alukan.
Selaras usaha kerajaan menambah baik peraturan berkaitan undang-undang sivil, adalah perlu juga semakan kepada perlembagaan negara dan setiap kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran undang-undang syariah menyemak semula undang-undang syariah sedia ada.

Kita telah disajikan dengan cerita keruntuhan akhlak masyarakat Islam seperti pembuangan bayi, meminum minuman keras dan beberapa kesalahan syariah lain. Mungkin perkara ini asalnya dilihat sebagai perkara kecil tetapi apabila kita berkompromi, telah membawa kesan negatif yang besar.

Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan hukuman untuk kesalahan jenayah syariah tetapi hukuman kesalahan syariah terhad kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam sebatan saja.

Melihat perkembangan masyarakat yang tidak serik mengulangi atau melakukan kesalahan jenayah syariah, boleh dikatakan mereka memandang ringan kesalahan itu selain hukuman ringan yang dikenakan.

Bersesuaian dengan usaha kerajaan menyemak semula beberapa undang-undang sivil yang dianggap lapuk dan memerlukan transformasi, undang-undang syariah juga harus mengalami transformasi.

Mahkamah Syariah sudah dinaik taraf dengan pembangunan infrastruktur. Oleh itu, undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil.

Baru-baru ini kita dikejutkan kisah seorang lelaki yang menipu isteri-isterinya dengan mengahwini 11 wanita pada satu masa. Beliau menipu dokumen bagi membolehkannya berurusan dengan pejabat agama.

Jika kisah dan cerita itu betul, hukuman untuk kesalahan syariah bernikah lebih daripada empat isteri masih ringan berbanding hukuman menipu mengikut Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil. Oleh itu, pesalah akan lebih takut dengan hukuman Mahkamah Sivil berbanding perbuatan melanggar hukum syarak.

Sedangkan kesalahan syarak dilakukan membawa implikasi sangat besar kepada keturunan dan status anak yang lahir daripada perkahwinan dilarang. Jika tidak ditegah dan diatasi, akan melahirkan anak tak sah taraf seterusnya tanpa disedari merosakkan sifat keturunan dalam Islam.

Walaupun diakui bahawa sifat keadilan dan hukuman dalam Islam ialah bersifat belas kasihan, mendidik dan memaafkan, had hukuman yang berat adalah bersifat untuk mencegah serta mendidik masyarakat supaya tidak melakukan jenayah itu.

Tidak semestinya apabila sesuatu had hukuman berat itu dikanunkan, maka hakim perlu memberi hukuman maksimum. Pertimbangan kepada fakta kes, bentuk kesalahan, keadaan semasa juga harus diberi perhatian sebelum menetapkan bentuk hukuman yang sesuai.
Demi memelihara keutuhan masyarakat Islam, undang-undang mengawal akhlak masyarakat Islam juga perlu dilakukan transformasi bersesuaian keadaan semasa.

Firman Allah SWT: “Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)