Wednesday, June 15, 2011

Pelbagai persoalan sebalik perbicaraan waktu malam

Oleh Mohd Faiz Adnan

2011/06/15
Perjawatan di Mahkamah Syariah mesti segera ditambah

INISIATIF Hakim Datuk Abd Rahman Md Yunus menjalankan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada waktu malam untuk menyelesaikan kes yang semakin bertambah wajar dipuji kerana tidak semua orang boleh berkerja dari pagi sehingga malam hari. Namun, ada pelbagai reaksi terhadap cadangan itu terutama dalam kalangan peguam syarie yang terbabit secara langsung dengan Mahkamah Syariah. Isunya, apakah kes tertangguh di Mahkamah Syariah begitu serius hingga perlu untuk mewajibkan Hakim Syarie mendengar kes di waktu malam? Kedudukan seseorang hakim berbeza dengan kebanyakan orang atau jawatan lain disebabkan beban dan tanggungjawab mereka lebih berat sehingga wujud etika khusus seorang hakim sama ada dalam mahu pun di luar mahkamah.

Hakim bukan calang-calang orang, seboleh mungkin seorang hakim perlu mengelakkan sebarang tohmah, malah emosinya harus dijaga, hendaklah sentiasa tenang dalam menghakimi kes dibicarakan dihadapannya.

Penegasan Allah dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 8).

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hakim itu berijtihad kemudian dia betul dalam ijtihadnya, maka dia memperoleh dua pahala dan apabila seseorang hakim itu berijtihad kemudian dia salah dalam ijtihadnya, maka dia beroleh satu pahala.” Ada riwayat lain menyebut: ”Jika betul ijtihadnya (hakim), maka dia memperoleh sepuluh pahala.”

Justeru, hakim memikul amanah yang sangat berat dalam menjalankan tanggungjawab mengadili sesuatu kes. Persoalannya jika mendengar kes hingga waktu malam, apakah hakim masih boleh fokus terhadap kes yang melambak dan memastikan kualiti penghakimannya terjamin?

Hakim Syarie manusia biasa yang terikat dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlukan masa untuk berehat, beribadah dan sebagainya.

Memetik Kod Etika Hakim Syarie, dalam Arahan Amalan No 1 tahun 2001, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perenggan 4 (c) menyebut, seorang hakim itu hendaklah tidak mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang seumpama dia berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.

Dalam konteks penghakiman, seseorang hakim perlu ‘above par’ kerana itu etika yang perlu dijaga.

Jika juruterbang mempunyai kod etika iaitu tidak dibenarkan menjalankan penerbangan melebihi masa ditetapkan dalam sehari, begitu juga Hakim Syarie perlu mempunyai masa bekerja tertentu bagi menjaga kualiti penghakiman.

Bagi sidang pendengaran kes, selain hakim, harus ada pendaftar, pembantu hakim, jurutaip, polis mahkamah dan lain-lain yang berperanan dalam dewan perbicaraan serta pendaftaran.

Bayangkan jika dewan bersidang di waktu malam, maka semua yang terbabit harus hadir. Berapa ramai pula ahli keluarga dan anak kakitangan yang mendapat kesannya? Berapa pula kos kerja lebih masa yang harus ditanggung pihak berwajib?

Perbicaraan di waktu malam juga berpotensi mendedahkan banyak pihak terbabit kepada isu keselamatan diri. Bayangkan pihak tinggal berjauhan dari mahkamah, mungkin terpaksa bermalam di mana-mana atau meredah malam gelap untuk pulang ke rumah.

Untuk mengatasi masalah lambakan kes, suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius kerajaan adalah memperbanyakkan perjawatan di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia khususnya perjawatan Hakim Syarie dan kumpulan sokongan lain.

Jika ingin dilaksanakan juga perbicaraan pada waktu malam, persoalan imbuhan harus diambil kira secara serius oleh kerajaan. Apa yang penting, gaji perlulah diberi dengan kadar yang cukup.

Ini dapat dilihat seperti disebut oleh Umar al-Khatab kepada Muaz bin Jabal dan Abi ‘Ubaidah: “Lantiklah mereka ke jawatan kehakiman, persenangkan mereka, gajikan mereka dan percukupkan mereka dari harta Allah.”

Malah menurut al-Imam al-Rashid, dalam pemberian gaji kepada hakim, beliau berpendapat perlu diberi lebih daripada had mencukupi hingga kepada tahap menyenangkan supaya hakim itu reda, berpuas hati dan menumpukan kepada kerja penghakiman dengan jiwa tenang dan senang.

Malah Dr Abdul Karim Zaidan dalam Nizam al-Qada’ berpandangan hakim juga perlu diberi rumah yang khusus kepada mereka.

Maknanya, jika hakim dipertanggungjawabkan dengan kerja lebih masa, bukan saja soal kualiti penghakiman harus dijaga malah kebajikan mereka dan kumpulan sokongan yang membantu prosiding juga patut diambil serius oleh pihak berwajib.

Firman Allah yang bermaksud: “Untuk orang yang berusaha menjadikan amalnya sentiasa baik, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus, ayat 26).