Thursday, May 5, 2011

Pembuktian zina ikut syarak mesti ada pengakuan

Mohamad Isa Abdul Ralip

Berita Harian, 13 April 2011 12:39

Si penuduh boleh dihukum sebat 80 kali jika bukti dibawanya palsu, saksi tak cukup syarat

DEWASA ini ada banyak kes membabitkan pembuangan bayi akibat perlakuan zina. Nasib bayi yang dibuang sering meruntun hati masyarakat yang turut memikirkan cara terbaik untuk menjaga dan mendidik anak itu serta bagaimana ingin memberi kesedaran kepada pelakunya.

Persoalannya, adakah kesalahan zina yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Zina adalah kesalahan yang berat mengikut hukum syarak sehingga larangannya dijelaskan Allah dalam Al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Israk, ayat 32)

Ini ditegaskan lagi melalui hukuman dikenakan terhadap penzina jika disabitkan kesalahan yang turut termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.” (Surah An-Nisa, ayat 2)


Mengikut hukum Islam, hukuman zina berbeza mengikut kategori bagi pesalah yang sudah berkahwin (mukhsan) atau belum (ghair mukhsan). Jika sudah berkahwin, dikenakan hukuman rejam sampai mati manakala yang belum berkahwin akan dirotan 100 sebatan.

Melihat betapa seriusnya kesalahan zina ini, hukum syarak menetapkan si penuduh orang lain melakukan zina yang gagal membuktikan dakwaannya turut dihukum iaitu dikenakan 80 kali sebatan, disamping itu juga penyaksiannya tidak akan diterima selama-lamanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Hukuman berat ini menunjukkan cara pembuktian terhadap pertuduhan zina juga perlu diambil kira. Bukan semua bentuk pembuktian boleh diterima bagi membuktikan kesalahan tertuduh kerana kesan terhadap penyabitan zina amat besar terhadap maruah diri tertuduh.

Walaupun keterangan terhadap pertuduhan boleh dikemukakan dengan pelbagai bentuk, hanya dikira ialah pembuktian melalui pengakuan si pelaku (ikrar) dengan mengambil kira syarat perakuan itu.

Sejarah membuktikan penyabitan kesalahan zina melalui ikrar amat dititikberatkan bagi mengelak sebarang keraguan, paksaan, kecelaruan oleh si pelaku yang menyebabkan beliau membuat perakuan terhadap kesalahan menyebabkan berlaku kesilapan dan penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Rasulullah SAW sendiri, apabila seorang lelaki datang menemui Baginda seraya berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling darinya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.

Apabila lelaki berkenaan membuat pengakuan sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: Tidak. Nabi bersabda lagi: Adakah engkau telah kahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka Nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.”

Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak boleh dilaksanakan terhadap si pelaku yang menarik balik pengakuannya bahawa sebelum ini beliau melakukan zina.

Bentuk pembuktian kedua yang diterima ialah kesaksian daripada empat orang saksi. Saksi perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh hukum syarak sebelum penyaksian diterima iaitu Islam, lelaki, baligh.

Sempurna akal, adil, benar-benar melihat kejadian zina dan penyaksian itu benar-benar menunjukkan zina itu berlaku. Ini bermakna, jika saksi gagal memenuhi salah satu daripada syarat itu, penyaksiannya tidak akan diterima.

Walaupun sesetengah ulama seperti Ibn Qayyim menerima pembuktian melalui tanda (qarinah), ada ulama seperti Imam Syafie yang menolaknya. Penerimaan dan penolakan terhadap bentuk pembuktian berdasarkan kepada hujah masing-masing namun yang pastinya penolakan ini bagi mengelak timbulnya keraguan dalam penyabitan.

Kesalahan berkaitan dengan perbuatan zina diperuntukkan dalam undang-undang syariah. Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 menetapkan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isteri sah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi hukuman itu.

Kewujudan pelbagai peralatan canggih tidak dapat menafikan bentuk pembuktian yang ditetapkan kerana sebarang bentuk dokumen mahupun peralatan canggih masih boleh menimbulkan keraguan. Adalah tidak mustahil dokumen itu diubah suai bagi boleh menyabitkan seseorang dengan kesalahan.

Pembuktian bagi kesalahan zina tidak wajar disamakan oleh mana-mana pihak dengan pembuktian kes rompakan yang dirakam. Pembuktian bagi kesalahan zina adalah ketat seperti ditetapkan hukum syarak.

Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Bharian Online, 2011/04/27

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagia apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Penyebaran isu secara terbuka beri kesan buruk kepada Islam, negara

Oleh Musa Awang

Berita Harian
04/05/2011

Prosedur syariah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintah hakim

SAYA menerima e-mel dari seorang ibu yang mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan berumur 13 dan 12 tahun, yang meluahkan rasa malu serta kecewa apabila mutakhir ini terpaksa menerangkan kepada anaknya istilah ‘liwat’ dan ‘zina.’

Terutama sekali selepas isu video seks seorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang menjadi sebaran eksklusif di saluran televisyen dan internet. Si ibu dan suami selalu menonton berita bersama anak kerana itulah masa mereka bersama selepas sibuk seharian dengan tugasan masing-masing.

Katanya, semasa isu liwat hebah dulu, beliau dan suami terpaksa menerangkan secara jujur dan ikhlas kepada anak mereka yang begitu cerdik menyoal secara terperinci dan bersikap ingin tahu.

Bayangkan apabila si anak lelaki bertanya bagaimana organ lelaki pelaku boleh masuk ke lubang dubur pengadu memandangkan lubang dubur itu amat ketat. Jadi, ibu terpaksa menjawab mungkin yang kena tuduh terpaksa gunakan pelincir seperti Johnson Cream. Lalu si anak bertanya pula apa itu pelincir Johnson Cream?

Kini, apabila heboh diperkatakan mengenai video klip itu, kedua-dua anaknya ingin tahu pula apa itu zina. Ibu terpaksa menerangkan maksud istilah itu. Pertanyaan lanjut anak ialah: “Oh! Dulu masuk lubang belakang, sekarang masuk lubang depan.”

Malah, anak turut bertanya apakah televisyen akan menyiarkan gambar organ yang kena tuduh itu memasuki lubang belakang dan lubang depan.

Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi untuk tujuan kemenangan sementara politik. Lebih malu, yang menuduh dan pelaku adalah orang Islam.
Tidak habis isu liwat, zina, video seks, terkini isu sumpah laknat (mubahalah) pula. Walhal dalam Islam sendiri, sumpah laknat hanya dibenarkan dalam kes li’an antara suami isteri.

Sumpah laknat selain antara suami isteri tidak diperuntukkan dalam kes jenayah menurut hukum syarak kerana kes jenayah perlu melalui prosedur jenayah. Mubahalah biasanya berlaku dalam kes akidah seperti cabaran mubahalah Rasulullah SAW terhadap Kristian dan Yahudi.

Sumpah adalah sebahagian prosedur perundangan syariah dan perlu dilakukan dalam Mahkamah Syariah selepas diperintahkan oleh hakim, bukan bersumpah di masjid atau di tempat lain. Mahkamah Syariah perlu dihormati oleh semua pihak.

Amat malang apabila orang Islam dan orang masjid sendiri tidak menghormati Mahkamah Syariah dan menyedihkan lagi, akibat tindakan itu berlaku perbalahan sesama Islam, dalam rumah Allah yang suci.

Jadi, tamatkanlah segera isu video seks kerana tingkah laku kita menggambarkan seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamadun dan tiada undang-undang.

Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, bersumpah laknat dan meminta masyarakat menghukum adalah tidak bermoral, rosak akhlak dan masyarakat.

Negara ini ada undang-undang, malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Sebagai rakyat yang mendidik akhlak baik kepada anak, pasti kita mahu melihat pelaku dan pihak mengedarkan video itu dihukum menurut undang-undang negara ini.

Dalam Islam, aduan terhadap sesuatu kesalahan orang Islam lain digalakkan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan supaya dapat dibicarakan di mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.
Dengan cara itu, keadilan dapat ditegakkan melalui saluran perundangan, bukan membiarkan masyarakat membuat penghakiman.

Mari kita renung hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan timbul di akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (Hadis riwayat Termizi)