Saturday, January 4, 2014

Persatuan Peguam Syarie pertahan serbuan JAIS ke atas PBM


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

JANUARY 04, 2014

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berpendapat serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan enakmen kerajaan negeri Selangor.

Presidennya, Musa Awang berkata dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 memberi kuasa untuk menyiasat dan menangkap tanpa waran terhadap mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan dalam enakmen tersebut yang diberikan kepada pegawai bertauliah.

"Pegawai bertauliah ertinya pegawai awam yang diberikan tauliah oleh pihak berkuasa negeri secara bertulis untuk menjalankan kuasa-kuasa di bawah Enakmen tersebut.

"Semasa proses siasatan di premis tersebut, ia bukan sahaja terdiri daripada pegawai penguatkuasa agama (PPA) Jais tetapi juga pegawai polis. Jika pegawai itu terdiri daripada mereka yang diberikan tauliah oleh pihak berkuasa negeri, maka proses tersebut tidak salah dari sudut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Khamis lalu, Jais menyerbu PBM di Damansara Kim dan menahan dua pagawai iaitu Presiden, Lee Min Choon dan Setiausaha Agung, Sinclair Wong selain merampas 300 Bible versi bahasa Melayu dan Iban.

Kejadian berlaku sewaktu pekerja sedang membawa masuk barangan dan pejabat mereka didatangi 20 pegawai Jais bersama dua anggota polis kira-kira jam 2 petang.

Lee dan Wong dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 4 petang hari sama namun katanya tidak diberitahu sebarang pertuduhan yang akan dikemukakan kepadanya.

Musa berkata sekalipun tiada pegawai bertauliah yang hadir bersama, berdasarkan maklumat yang diterima oleh PPA, mereka mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku dalam sesebuah premis.

"Berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003, PPA diberikan kuasa untuk pergi ke sesebuah premis untuk menyiasat serta mengambil apa-apa langkah perlu.

"Tidak menjadi persoalan dari sudut undang-undang, samada premis itu milik bukan Islam atau orang Islam atau tidak dapat dipastikan milik siapa. Yang penting kesalahan disyaki berlaku dalam premis tersebut," katanya.

Beliau berkata Seksyen 11 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk menggeledah mana-mana premis disyaki melakukan kesalahan dengan syarat orang yang tinggal di tempat itu memberikan kebenaran kepada PPA masuk menjalankan penggeledahan.

Katanya, dalam kes ini, orang yang berada dalam premis tersebut sendiri memberi kebenaran untuk PPA Jais masuk membuat siasatan.

"Seksyen 15 enakmen sama juga memberikan kuasa kepada PPA untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang bukti yang dijumpai. Pada pandangan saya, tiada unsur ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dalam kes ini.

"Cuma pihak tertentu cuba memperbesarkan isu ini, cuba memperlekehkan tindakan pihak berkuasa, cuba memberikan imej buruk kepada institusi penguatkuasaan agama Islam dan cuba mencari perselisihan antara penganut Katolik dan Islam," katanya.

Musa berkata Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 masih terpakai, meskipun Bible dalam bahasa Melayu tersebut dikatakan hanya akan diedarkan kepada penganut Kristian sahaja.

Katanya, ia adalah langkah pencegahan dan siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima.

"Samada ada berlaku kesalahan atau tidak, perkara itu biar mahkamah yang putuskan. Pokoknya bila ada aduan, maka pihak berkuasa yang diberikan kuasa oleh kerajaan perlu bertindak.

"Persoalannya juga adalah mengapa Bible dalam bahasa Melayu disimpan dalam negeri Selangor? Adakah dapat dipastikan bahawa Bible berbahasa Melayu itu hanya untuk penganut Kristian sahaja sedangkan semua maklum bahawa orang Melayu pada dasarnya beragama Islam?" katanya.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab Jais dan Majlis Agama Islam Selangor untuk menjaga kepentingan umat Islam di negeri tersebut daripada dakyah agama bukan Islam.

Bernama hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi berkata kerajaan negeri meminta Jais menyediakan laporan terperinci termasuk hasil siasatan ketika merampas sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dalam serbuan ke atas PBM pada Khamis.

Katanya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri agar segera menyemak dan meneliti operasi Jais itu.

Sehubungan itu, Sallehen menggesa semua pihak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi namun masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata pihaknya memandang serius insiden serbuan itu dan ia merupakan insiden kedua melibatkan Jais selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di Damansara tahun lepas.

Katanya, susulan daripada pemeriksaan mengejut itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Jais menyediakan satu standard operasi bagi digunakan dalam menangani isu sensitif seterusnya mengelakkan daripada berlaku salah faham dan buruk sangka.

Sehubungan itu, Sallehen berkata pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini. –

4 Januari, 2014.
Malaysian Insider