Wednesday, October 8, 2014

Risiko nikah sindiket

Harian Metro
09.10.2014

Oleh Musa Awang

Tinjauan mendapati rata-ratanya ejen nikah sindiket menggunakan pelbagai jenis ‘tagline’ promosi seperti ‘cepat dan murah’ yang sedikit sebanyak berjaya menarik orang ramai, terutama bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang, seperti lelaki ingin berkahwin lagi dan pasangan tidak boleh berkahwin disebabkan tentangan keluarga.

Daripada perspektif undang-undang, tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘kahwin sindiket’. Ia diberi oleh masyarakat. Nikah sindiket ialah nikah yang tidak mengikut peraturan, yakni seseorang berkahwin di daerah atau di negeri lain tanpa terlebih dulu memohon kebenaran untuk berkahwin di luar daerah. Ada juga pernikahan sindiket dijalankan di dalam negara. Cara mudah untuk membezakan antara nikah sindiket dengan nikah yang mengikut peraturan ialah kebenaran sudah diperoleh daripada jabatan agama Islam atau Mahkamah Syariah.

Perlu dapat kebenaran
Secara prinsipnya, sesuatu perkahwinan seseorang lelaki atau perempuan perlu mendapat kebenaran sama ada daripada pendaftar atau dalam kes tertentu, kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Seksyen 19, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin sudah diberi: (a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syarie di bawah seksyen 18, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan; atau (b) oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu negeri, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin di negeri itu.

Pendaftar yang dimaksudkan ialah Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk Orang Islam, termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar di Jabatan Agama Islam.

Kebenaran daripada hakim syarie pula diperlukan dalam kes perkahwinan di bawah umur, perkahwinan yang membabitkan seorang janda berhias (bercerai sebelum disetubuhi suami), seorang perempuan yang tidak mempunyai wali nasab dan seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami. Undang-undang juga mensyaratkan kehadiran atau persetujuan wali ketika pernikahan, dan wali hakim atau wali raja bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.

Kebanyakan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang lebih suka memilih selatan Thailand kerana tidak perlu membawa wali, surat kebenaran berkahwin daripada jabatan agama Islam, perintah Mahkamah Syariah bagi yang ingin berpoligami, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.

Sesetengah pasangan yang lari bernikah di luar negara meletakkan kesalahan kepada peraturan atau prosedur dikatakan menjadi punca mereka memilih bernikah secara sindiket. Terlalu mudah memberi alasan. Cuba fikir, bagaimanakah hendak menempuh gelombang kehidupan berumahtangga yang penuh pancaroba jika ujian mudah menurut peraturan dan prosedur pun tidak sanggup untuk dihadapi?

Perkahwinan suatu perkara suci, maka ia perlu dilakukan mengikut undang-undang. Peraturan yang diadakan bukan bertujuan menyusahkan tetapi untuk menjaga masyarakat, mengawal kerukunan keluarga dan memelihara nasab yang bakal dilahirkan. Peraturan menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua-dua ibu bapa kerana membelakangkan mereka.

Pernikahan sindiket juga berisiko menghadapi masalah perkahwinan dan berkemungkinan tidak dapat didaftarkan disebabkan rukun nikah tidak sempurna atau surat nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Ada kes perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah atau Kelantan tetapi sijil nikah yang dikeluarkan ialah sijil nikah Thailand. Hal ini akan menyebabkan sijil nikah yang dikeluarkan tidak diiktiraf oleh undang-undang keluarga Islam, permohonan untuk mendaftarkan nikah ditolak, dan kesannya, urusan pendaftaran anak tergendala. Jika berlaku perceraian atau kematian, ia akan menimbulkan masalah kepada waris, sehingga urusan pembahagian harta juga terbantut.

Jenayah syariah
Tindakan pasangan yang bernikah secara sindiket juga akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan jenayah syariah. Di Wilayah Persekutuan, kesalahan bagi seorang perempuan atau lelaki bernikah tanpa kebenaran atau seorang lelaki berpoligami tanpa kebenaran ialah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (denda dan juga penjara).

Tindakan ejen yang mengaut keuntungan dengan menangguk di air keruh juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada seseorang yang mengakadnikah atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan atau bersubahat dengan perkara berkenaan.

Perkahwinan penyatuan dua jiwa insan dan dua keluarga, yang diikat dengan syarat yang ditentukan oleh syarak. Oleh yang demikian fenomena nikah sindiket sudah tentulah bertentangan dengan falsafah kekeluargaan. Ia juga bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan. Dalam sesetengah keadaan, ia menggugat keharmonian, meragut kebahagiaan dan meruntuhkan institusi keluarga yang sedia ada.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (sekretariatpgsm@yahoo.com)

No comments:

Post a Comment