Wednesday, November 13, 2013

Hudud sistem perundangan adil

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian
Rabu, 13/11/2013
Oleh Moeis Basri Cetak Emel Kawan

Masyarakat perlu diberi kefahaman jelas mengenai hukuman bersifat mencegah, mendidik

Pengumuman oleh kerajaan Brunei Darussalam berkenaan pelaksanaan hukum hudud di negara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi di rantau ini dan seluruh dunia. Hudud telah lama menjadi polemik dan perbahasan pakar perundangan syariah.

Malah, perbincangan mengenai hudud telah mengundang masuk campur golongan bukan Islam yang turut berbahas mengenainya. Hudud sejak sekian lama dimomokkan sebagai undang-undang lapuk, tidak sesuai suasana masa kini dan ada mengatakan ia kejam serta memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan.

Hukum hudud disebut jelas dalam al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim mesti mempercayainya kerana keraguan terhadap wujudnya arahan mengenai hukum hudud dikhuatiri akan membatalkan akidah.

Apabila menyebut hudud, tergambar potong tangan atau hukuman rejam. Penyokong hudud juga menjadi pendesak yang radikal dan pada satu ketika timbul isu kafir mengkafir kerana kegagalan menjalankan hukum hudud oleh sebahagian golongan. Hudud dilabel setengah pihak sebagai ekstrim.

Hudud ialah pelaksanaan undang-undang Islam, termasuk yang telah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Islam adalah cara hidup begitu juga perundangan Islam yang menjadi peraturan dalam menjalani kehidupan.
Memahami hudud memerlukan kita mendalami semua aspek berkaitan perundangan Islam termasuk aspek pembuktian, cara menjalankan hukuman, rasional undang-undang, hikmah serta pengajaran daripadanya untuk mengelakkan salah faham terhadap hukum telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Hari ini, ramai orang yang mengkritik pemotongan tangan untuk pencuri atas dasar ia dilihat sebagai kejam dan ganas, tetapi tidak memahami maksud jenayah mencuri serta kesannya kepada masyarakat. Apa lagi mengetahui falsafah kepada hukuman itu.

Sejarah perundangan dan hukuman jenayah telah menyaksikan pindaan undang-undang yang lebih keras apabila kes jenayah meningkat dan falsafah pindaan itu untuk mencegah kejadian jenayah terus dilakukan berulang-ulang.

Dalam Islam, hukum yang dilihat keras bertujuan untuk pencegahan dan pendidikan bukan hendak menonjolkan mengenai hukuman itu semata-mata, tetapi bagaimana sistem perundangan adil terutama dari segi pembuktian perlu dipatuhi untuk memastikan hanya penjenayah sebenar dihukum.

Oleh itu, undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak perlu ditakuti melainkan kita memang merancang untuk melakukan jenayah. Sebaliknya, ia perlu difahami dan dilaksanakan seperti mana dianjurkan.

Justeru, sebelum hukum hudud dijalankan, masyarakat perlu mendapat kefahaman jelas mengenai pelaksanaannya dan sedar bahawa ia adalah sebahagian daripada agama Islam. Jangan hanya tahu mengkritik saja.

Hukum hudud disebut jelas dalam al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim mesti mempercayainya kerana keraguan terhadap wujudnya arahan mengenai hukum hudud dikhuatiri akan membatalkan akidah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah menetapkan hukum bagi mereka (orang Yahudi) dan dengannya juga ulama dan pendeta mereka menjalankan hukum Allah, sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya. Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang yang kafir.” (Surah al-Maidah, ayat 44)

Walau bagaimanapun, untuk menjalankan hukum hudud memerlukan kepada persediaan infrastruktur teratur seperti mewujudkan sekumpulan orang yang terlatih dan faham peraturan ditetapkan supaya sistem keadilan ini berkesan.

Di samping itu, masyarakat juga harus dididik untuk menerima hukum hudud adalah sebahagian daripada apa yang diarahkan oleh Allah SWT. Islam sebagai cara hidup dibina atas akidah dan keimanan dalam diri umat Islam.

Hukum hudud tidak boleh dijalankan oleh mana-mana individu atau organisasi Islam secara bersendirian. Sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyatnya adalah umat Islam, di harap satu hari nanti dapat melaksanakan hukum hudud. Pemimpin Islam perlu memberi imej dan menunjukkan wajah sebenar Islam serta ajarannya.

Pengumuman kerajaan Brunei untuk melaksanakan hukum hudud amat mengujakan dan bagaimana pelaksanaan seperti diwartakan nanti boleh dijadikan panduan. Pelaksanaan hukum Islam diharap mampu menonjolkan imej Islam sebenar, menghapuskan syak wasangka serta ketakutan terhadap hukum hudud.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tuesday, August 6, 2013

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PGSM 1434H/2013M


Rabu, 7 OGOS, 2013

PERUTUSAN AIDILFITRI, 1 SYAWAL 1434H

oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah SWT, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, kita semua akan menyambut 1 Syawal 1434H. Saya mewakili semua saf kepimpinan PGSM mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.

Raikanlah hari kemenangan kita setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan lillahi ta’ala dengan melaungkan takbir dan tahmid membesarkan Allah SWT, dengan suara yang nyaring beramai-ramai dan dengan penuh bersemangat, memakai pakaian yang terbaik dan indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri, memakai wangi-wangian, ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin.

Sebagaimana Ramadhan, kita dianjurkan juga melanjutkan amalan-amalan baik dan ibadah di bulan Syawal ini. Usia kita adalah rahsia Allah SWT. Mungkin Syawal ini kali terakhir buat kita. Semoga apa yang kita lakukan sepanjang Ramadhan dan sepanjang Syawal ini akan mendapat keampunan Allah SWT serta limpahan rahmah dan berkat daripada-Nya.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.

Mutakhir ini, banyak isu-isu yang melibatkan gangguan serta serangan terhadap Islam, termasuk juga cuba mengganggu-gugat Islam sebagai agama Persekutuan yang secara tidak langsung akan memberi kesan kepada institusi Mahkamah Syariah di mana kita semua beramal.

Perkara ini memerlukan penglibatan kita semua sebagai pengamal di Mahkamah Syariah. Tanggungjawab kita bukan setakat pergi ke Mahkamah mewakili anak guam atau menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh anak guam dan mahkamah, tetapi sebagai Muslim, amanah atas bahu kita adalah lebih besar dari itu.

Disamping menunaikan tanggungjawab ubudiah iaitu ibadah khusus kita terhadap Allah SWT, kita juga mempunyai tanggungjawab khilafiyyah, iaitu tugas kita sebagai pengganti, penyambung kepada legasi yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW agar meneruskan kerja dakwah Baginda, menyampaikan pesanan-pesanan baginda dan mempertahankan Islam dan umat Islam lain, di muka bumi Allah SWT ini.

Dari Hudzaifah bin Yaman r.a, Rasulullah SAW bersabda ”Siapa yang tidak ihtimam (peduli) terhadap urusan umat Islam, maka bukan golongan mereka.” (HR At-Tabrani).

Maka, ayuhlah selepas ini Tuan/Puan bersama-sama PGSM melibatkan diri dalam mempertahankan Islam dan memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.

Akhir kata, kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati memandu dan berikan konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi dan selamat kembali untuk menyambung tugas masing-masing.

Sekali lagi, saya mewakili semua pimpinan PGSM sesi ini mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan zahir dan batin.

“Taqabbalullah minna waminka, taqabbal ya Karim (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak.”

MUSA AWANG, p.p.n
Presiden PGSM