Saturday, November 10, 2012

Izin Poligami Bukan Hak Isteri

Oleh Roshdan Sujak Rafie

Persoalan berkaitan poligami sering dibangkitkan dan dibicarakan oleh masyarakat tidak kira oleh golongan lelaki mahupun wanita samada di pejabat, di rumah, kedai kopi mahupun di kalangan jiran tetangga. Malah, ianya juga sering dimainkan serta dilakonkan di layar televisyen ataupun di corong-corong radio. Bagaimanapun, ujud salah faham yang timbul dalam masyarakat akibat dari persekitaran dan salah faham berkaitan poligami ini.

Masyarakat sehingga kini diterapkan bahawa sesuatu perkahwinan poligami ini perlu mendapatkan keizinan dan tandatangan isteri sedangkan hakikat sebenar yang berlaku dalam perundangan kita ataupun hak yang diberikan oleh Hukum syarak adalah tidak sedemikian.

Seksen 23 Enakmen Undang-undang keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa “Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.” Peruntukan tersebut jelas menyatakan bahawa kebenaran perkahwinan secara poligami itu boleh diberikan dengan kebenaran Mahkamah. Peruntukan tersebut juga tidak menyatakan bahawa keizinan isteri itu menjadi syarat dalam mendapatkan kebenaran Mahkamah. Peruntukan yang sama juga diguna pakai hampir keseluruhan negeri di Malaysia.

Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami ialah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 yang bermaksud:“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan)perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat.Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.

Syarak menetapkan bahawa seseorang lelaki itu dibenarkan berpoligami dengan syarat bahawa ia mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya. Bersandarkan firman Allah tersebut, jelas bahawa hak untuk berpoligami telah diberikan dalam Islam dan ianya menjadi hak kaum lelaki untuk berpoligami. Oleh kerana ujudnya hak sebagaimana yang diberikan syarak tersebut, maka kebenaran isteri bukanlah suatu kewajipan dalam poligami.

Polemik ini hanya dicetuskan oleh masyarakat dalam penceritaan atau perbualan sesama mereka semata-mata. Ia malah ditokok tambah dengan drama dan filem tempatan yang menggambarkan seolah-olah poligami hendaklah mendapatkan tandatangan dan kebenaran isteri terlebih dahulu.

Isu berkaitan poligami yang tidak perlu kepada kebenaran isteri ini bukan baru berlaku malah ia telah terlaksana sejak dari dulu lagi. kebenaran hanya diperolehi dari Mahkamah selepas seseorang itu berjaya membuktikan beberapa perkara antaranya perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu berdasarkan kepada faktor kemandulan, keuzuran jasmani, persetubuhan, kemampuan menanggung semua isteri dan orang tanggungannya, berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak dan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri-isteri. Ini juga dinyatakan dalam peruntukan Enakmen Undang-udang Keluarga Islam negeri dan dipraktikan secara menyeluruh di setiap Mahkamah Syariah negeri.

Ianya membawa maksud bahawa jika seseorang lelaki berjaya mengemukakan kepada Mahkamah keperluan beliau untuk berpoligami berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan, maka Mahkamah boleh membenarkan perkahwinan tersebut dilaksanakan walaupun tanpa kebenaran dan tandatangan isteri.

Perlu diingat bahawa kebenaran Mahkamah ini dibuat bukan bertujuan untuk menghalang hak lelaki untuk berpoligami tetapi ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Malah kecacatan atau kecelaruan yang berlaku dalam soal poligami bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik malah menyimpang dari landasan syariat.

Pemahaman salah masyarakat berkaitan kebenaran isteri untuk berpoligami ini juga mungkin disebabkan sikap para suami takut untuk hadir ke Mahkamah disebabkan anggapan bahawa ianya perlu mendapat kebenaran isteri. Malah, kadang-kadang ianya juga dibuat secara sembunyi kerana bimbang diketahui oleh isteri.

Salah faham berkaitan izin isteri dalam berpoligami ini perlu dihapuskan kerana ianya menampakkan seolah-olah kuasa dan hak untuk berplogami itu menjadi hak isteri sedangkan hukum syarak dan undang-udang itu membenarkan suami berpoligami walaupun tanpa kebenaran isteri.

Penulis ialah Timbalan Presiden PGSM.