Friday, August 17, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI 1433H OLEH PRESIDEN PGSM



18 OGOS, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI, SYAWAL 1433H
oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

InsyaAllah, kita semua akan menyambut 1 Syawal 1433H. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam ; “Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang bertakwa, setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan. Aidilfitri juga adalah hari kesyukuran kerana kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang perlu makan dan minum di siang hari. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna, kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu" [HR Bukhari].

Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s.w.t, maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Maka kemenangan dan kesyukuran ini tidak wajar sama sekali diraikan dengan membakar mercun atau bunga api, atau menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah Syarak, tetapi sambutan ini perlu diisi dengan pujian terhadap Allah s.w.t, melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dengan bertakbir dan bertahmid, dan bersifat ihsan kepada insan yang lain sebagai salah satu tanda kesyukuran itu.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Kita disyariatkan untuk melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum solat Aidilfitri didirikan, dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dan dengan penuh bersemangat. Firman Allah s.w.t : ”… dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana telah mendapat pertunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur” – [al-Baqarah:185].

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan qiyamullail, maka semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Kita juga disunatkan menunaikan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Disunatkan mandi di pagi hari raya, sebelum solat Aidilfitri, sama ada bagi orang yang akan pergi menunaikan solat maupun tidak. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."

Disunatkan memakai pakaian yang terbaik dan indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri serta memakai wangi-wangian. Imam Syafie r.a berkata : Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. [Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’i]

Disunatkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala prasangka atau andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR al-Bukhari]

Disunatkan juga pergi menuju ke tempat solat Aidilfitri melalui satu jalan dan balik melalui jalan yang lain.

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia dan merupakan suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.

Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin. Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.

Tazkirah ada di sekeliling kita. Apa sahaja yang mengembalikan ingatan kita kepada keesaan Allah s.w.t dan kekerdilan diri kita di sisi Allah s.w.t adalah suatu tazkirah. Menziarahi pusara sanak saudara yang telah meninggal dunia merupakan suatu tazkirah yang mengingatkan kita bahawa kita juga akan kembali kepada Allah s.w.t seperti mereka.

Menziarahi orang tua yang uzur, menginsafi diri kita bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah s.w.t.

Memberi sedekah kepada orang miskin, fakir dan anak yatim juga adalah satu tazkirah, mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur dengan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan, sentiasa membantu insan yang memerlukan, dan di dalam harta-harta yang kita perolehi sebenarnya ada hak insan yang kurang bernasib baik.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nafsu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.

Kebesaran Allah s.w.t yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid di Aidilfitri adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.

Rakan-rakan Peguam Syarie sekalian.
Insya-Allah pada bulan September ini, PGSM akan mengadakan aktiviti-aktiviti berikut –

• Jumaat 14 September 2012, jam 12.00 tengahari hingga 3.30 petang - Majlis Sambutan Aidilfitri PGSM bertempat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jemputlah datang beramai-ramai. (Pengarah - Puan Noorafizah Abdul Aziz)
• Pada hari yang sama, jam 10.30 pagi - Pelancaran Klinik Guaman Syarie Percuma PGSM bertempat di Bilik Tauliah, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - Puan Shanizah Ngatiman)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari – Muzakarah Arahan Amalan JKSM-PGSM bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - TH Azmi Tan Sri Rais)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 3.00 petang – Kelas Tafaqquh bertempat di Pusat Gerakan PGSM, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. (Pengarah - Tn Mohd Azlin (Yup).
• Sabtu, 22 September, 2012 – Program Latihan Peguam Syarie YBGK-PGSM peringkat Negeri Sembilan. (Pengarah - Puan Suziyani Mat Jusoh)
• Jumaat, 28 September, 2012 – Lawatan HELWA ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam. (Pengarah - Puan Noorafizah Abd Aziz)

Marilah sama-sama kita menghidupkan program yang dirancang ini. Boleh hubungi Sekretariat PGSM atau Pengarah program berkenaan, untuk maklumat lanjut.

Akhir kata, sekali lagi, saya mewakili semua pimpinan PGSM Sesi 2012-2015 mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Kepada yang pulang ke kampong, berhati-hati memandu dan berikan konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi. Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan zahir dan batin. Taqabbalullah minna waminka. Wallahu’alam.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden PGSM
Sabtu, 18 Ogos 2012.