Tuesday, July 31, 2012

Elak bicara kes aibkan individu

Peguam Syarie disaran damaikan pihak bertelagah hormati Ramadhan

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, Rabu 1 Ogos 2012

Ramadhan merupakan suatu bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam, yang amat dinantikan oleh umat Islam yang cintakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat istimewa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [Al-Baqarah 2:185]

Di dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr 97:1-3]

Selain itu, pada bulan ini diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i]

Ramadhan merupakan madrasah kerohanian, kerana di bulan ini seorang Islam bukan sahaja dilatih mengawal diri dari makan dan minum, juga mengawal keinginan nafsu syahwat, menahan diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, dan memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah, dan melakukan amal ibadat.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [HR al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir]

Prosiding kes di Mahkamah Syariah masih diteruskan walaupun pada Ramadhan, bagi mengelakkan berlaku penangguhan atau kelewatan dalam menyelesaikan masalah masyarakat Islam. Namun pihak-pihak atau Peguam Syarie yang menguruskan kes perlu mengelak dari membicarakan aib pihak lawan di bulan yang mulia ini.

Kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian, permohonan wali Hakim dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan.

Tetapi perbicaraan bagi kes seperti fasakh, perceraian, hadhanah, nusyuz dan seumpamanya wajar ditangguhkan sehingga tamat bulan Ramadhan, kerana dalam kes ini aib pihak lawan yang tidak sedap didengar perlu didedahkan untuk mendapatkan keadilan.

Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan, jika mahu aib kita dilindungi Allah daripada di buka dan di paparkan di padang Mahsyar, maka jangan sekali-kali membuka aib orang semasa di dunia.

Sabda Baginda s.aw yang bermaksud “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. [HR at-Tirmidzi]

Semasa Ramadhan, dugaan semakin kuat. Manusia akan menjadi cepat marah, samada orang yang berurusan di mahkamah, peguam syarie hatta hakim syarie.

Untuk mengekang perasaan marah semasa berselisih atau berbantah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya supaya mengawal lidah dengan cara diam seperti sabda baginda :“Apabila seseorang kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam”. [HR Ahmad]

Berbicara dalam kedaan marah akan mudah dikuasai oleh emosi dan nafsu yang membawa kepada penyesalan yang berpanjangan. Menurut syarak, seseorang hakim dilarang dari mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang, seumpama dia berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.

Maka perbicaraan yang panjang atau yang membuka aib mana-mana pihak atau yang boleh menimbulkan kemarahan di bulan mulia ini sewajarnya dielakkan.

Pada Ramadhan ini, Peguam Syarie disarankan lebih berperanan mendamaikan pihak-pihak yang bersengketa, dengan cara sulh atau persetujuan bersama (consent judgement). Galakan Allah s.w.t untuk mengadakan perdamaian terdapat dalam al-Quran : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [al-Hujurat 49 : 10].

Kesempatan Ramadhan seharusnya dimanfaatkan oleh pihak-pihak dengan menundukkan ego masing-masing dan memaafkan satu sama ain. Perselisihan atau perseteruan mungkin timbul lantaran ada pihak yang melakukan perbuatan aniaya dan pihak lain merasa teraniaya.

Jika pihak yang bersalah tidak mahu meminta maaf, dan pihak yang merasa teraniaya juga enggan memaafkannya, maka perselisihan tersebut akan berpanjangan. Tetapi dengan adanya kemaafan dapat menyelesaikan perselisihan dan perseteruan. Firman Allah s.w.t : “Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh.” [al-A’raf : 199]

Kemaafan juga dapat menghilangkan rasa benci, dengki dan dendam, menyambung silaturrahim yang telah putus, memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyah, menghilangkan rasa permusuhan, melahirkan sifat tawaddu’, menghilangkan sifat sombong dan angkuh, menjadikan hati tenang dan tenteram, dapat menghapus dosa dan memudahkan jalan ke syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w : ”Terbuka pintu syurga pada tiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan pada hari itu untuk mengampunkan setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dgn sesuatu apapun, kecuali kepada orang yang masih bersengketa antaranya dengan saudaranya, maka dikatakan Allah kepada malaikat, Tangguhkan kedua orang itu sehingga mereka berdamai”. (HR at-Tirmidzi)

- E-mel : PGSM boleh dihubungi di sekretariatpgsm@yahoo.com