Wednesday, July 27, 2011

Tukar Jantina : Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek

Tukar Jantina : Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek

Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian 27/7/2011

KISAH Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dalam MyKad dan Sijil Kelahiran kepada nama wanita Aleesha Abdul Aziz, selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu menghiasi dada akhbar minggu lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak permohonan itu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz dilaporkan telah membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan bagi menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai wanita dengan status lelakinya.

Kisah itu menimbulkan kemarahan masyarakat tidak kurang juga ada yang bersimpati. Persoalannya adakah simpati mampu mengubah hukum Allah?

Ulama sepakat perbuatan menyerupai wanita melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku berdosa besar apatah lagi mengubah anggota menjadi anggota wanita.

Perbuatan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya adalah dilaknat, haram, berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk.” (Surah at-Tiin, ayat 4)

Allah juga memberi peringatan mengenai tipu daya dan hasutan syaitan untuk mengubahsuai ciptaan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan Kuperdayakan mereka dengan angan-angannya serta Kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali (panduan), selain Allah sesungguhnya dia rugi dengan kerugian nyata.” (Surah An-Nisa’, ayat 119)

Ibnu Abbas meriwayatkan, “Rasulullah melaknat lelaki menyerupai atau berlagak seperti wanita dan wanita menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memberikan fatwa penukaran jantina lelaki kepada perempuan melalui pembedahan bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubah kejadian-Nya.

Syarak hanya memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan, dengan syarat disokong keterangan pakar dalam bidang itu. Khunsa musykil mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat itu.

Jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh. Jantina mereka dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau paling akhir berhenti.

Ia juga boleh ditentukan selepas baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri kewanitaan (datang haid) atau kelelakian (tumbuh janggut dan misai).

Kelonggaran diberikan ini adalah ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim secara sempurna.

Jika penukaran jantina dibenarkan, pelbagai masalah akan timbul serta merosakkan ibadat bukan saja kepada diri sendiri malah orang lain. Status pernikahan individu asalnya lelaki dengan lelaki lain pasti menimbulkan implikasi besar.

Bagi yang tidak berkahwin, dosa kian bertambah apabila mereka menjadikan pasangan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks songsang berlaku.

Dalam ibadat, akibat penukaran jantina, bagaimana mereka hendak melakukan sembahyang mengikut cara wanita sedangkan mereka adalah lelaki. Begitu juga jika mereka ingin sembahyang berjemaah, di manakah saf sepatutnya, bersama jemaah lelaki atau wanita?

Bagaimana pula jika mereka berada dalam jemaah wanita dan berlaku sentuhan dengan wanita lain, sedangkan jemaah tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki? Tambah buruk lagi apabila wanita lain mendedahkan aurat kerana menyangka mereka wanita, walhal auratnya masih dalam hukum asal aurat wanita terhadap lelaki. Begitu juga masalah mengerjakan haji atau umrah.

Apabila meninggal dunia, jenazah mereka masih perlu disemadikan sebagai lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita. Ditambah pula pelbagai penyakit timbul selepas melakukan pembedahan menukar jantina.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan yang dilaknat itu. Kehidupan yang aman dan bahagia boleh dicapai dengan menerima qada dan qadar Allah dengan hati tenang.

Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian. Menyesali rupa bentuk atau keadaan tubuh badan sedia ada adalah perkara yang boleh meruntuhkan keimanan terhadap Allah, dan ia adalah tipu daya syaitan.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/07/20

Agihan hanya sepertiga daripada harta pusaka

HIBAH dan wasiat adalah salah satu daripada bentuk pengurusan harta dalam Islam. Hibah bermaksud kontrak tabarru’ yang tidak mempunyai syarat balasan dan dilakukan semasa hidup yang membolehkan seseorang itu melupuskan harta kepada ahli waris atau orang lain.
Wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ ialah menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan seseorang ketika hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat adalah pemberian hak yang boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Wasiat berdasarkan hukum syarak pada asalnya adalah diwajibkan.

Firman Allah bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik (menurut peraturan agama), sebagai kewajipan atas orang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta supaya melakukan wasiat semasa hidupnya berdasarkan sabda Baginda bermaksud: “Seseorang Muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, kewajipan itu terhapus dengan hadis berkaitan pusaka antaranya yang diriwayatkan at-Tirmizi: “Allah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Wasiat pada dasarnya mempunyai dua syarat utama, pertama, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka dan kedua, kadarnya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

Berdasarkan peraturan asas itu, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris seperti anak mahupun ibu bapa pemberi wasiat kerana ahli waris sudah menerima bahagian mereka melalui pusaka.

Walaupun demikian, diharuskan memberi wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan hukumnya harus mengikut Mazhab Syafie dengan syarat selepas mendapat persetujuan waris lain.

Syarat kedua, seperti disepakati ulama fiqh, kadar wasiat ditetapkan hanya satu pertiga daripada harta bersih peninggalannya, selepas ditolak belanja pengebumian, pembayaran hutang dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Saad Abi Waqas: “Aku benar-benar tenat. Lalu Rasulullah SAW menjengukku. Maka aku bertanya: Ya Rasulullah, aku tidak mempunyai waris kecuali anak perempuanku. Adakah aku boleh sedekahkan kesemua hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku bertanya: Dua pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata: Adakah boleh aku sedekahkan satu pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Sepertiga. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu meninggalkan warismu kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka miskin sambil menadah tangan mereka kepada orang ramai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Merujuk peruntukan undang-undang di Malaysia berkaitan wasiat seperti Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, memberi tafsiran wasiat dengan memberi maksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Berdasarkan enakmen itu, undang-undang memperuntukkan berkaitan kadar wasiat serta had wasiat dan wasiat kepada waris.

Seksyen 26(1) memperuntukkan: “Jika sesuatu wasiat dibuat kepada bukan waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya, wasiat itu hendaklah berkuatkuasa tanpa perlu mendapat apa-apa persetujuan warisnya.”

Seksyen 26(2) memperuntukkan: “Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas dasar melebihi satu pertiga hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh warisnya selepas kematian pewasiat.”

Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Justeru, penting seseorang Muslim mengambil inisiatif menulis wasiat bagi memudahkan urusan pembahagian pusaka selepas berlaku kematian. Penulisan wasiat ketika hayat memastikan kepentingan waris terjamin dan proses pembahagian harta pusaka berjalan lancar.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)