Tuesday, February 22, 2011

Kunjungan PGSM ke Mahkamah Syariah Pahang

Kunjungan PGSM Ke Kuantan, Pahang.
Pada Isnin, 14 Februari 2011, seramai 5 orang MT dan Exco PGSM telah berkunjung ke Kuantan pahang, iaitu majlis Kunjungan Hormat ke Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan. Turut hadir beberapa orang Peguam Syarie negeri Pahang. Selepas itu suatu majlis dialog diadakan dengan peguam Syarie negeri Pahang.



Sunday, February 20, 2011

Peguam Syarie Menulis : Nikah ikut undang-undang jamin hidup harmoni

Oleh Musa Awang

Berita Harian, 02/02/2011

Lelaki, wanita yang ingin berkahwin perlu patuh prosedur elak rumah tangga berantakan

MINGGU lalu, dilaporkan isteri kedua menyerang isteri pertama. Sebelum itu, berlaku kejadian isteri pertama menyerang isteri kedua dan meminta cerai dari suaminya yang bernikah seorang lagi di selatan Thailand.

Kemudian ada pula laporan isteri kedua dipukul dan dicederakan suami yang dinikahinya pertengahan tahun lalu di selatan Thailand tetapi tidak didaftarkan sehingga sekarang.

Inilah beberapa insiden akibat pernikahan dilangsungkan tanpa melalui proses undang-undang negara dan pernikahan dilangsungkan dengan mengambil jalan singkat bernikah di selatan Thailand atau di Indonesia.

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang sangat dituntut. Matlamat perkahwinan untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredaan Allah mengikut garis panduan ditetapkan hukum syarak.

Hikmah perkahwinan juga untuk mencegah daripada melakukan perkara haram, memelihara kesucian keturunan, menghubungkan silaturahim, membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.

Namun apa yang berlaku, dalam kes dipaparkan atau ditatap di dada akhbar setiap hari, terbukti perkahwinan bertentangan undang-undang tidak memenuhi kehendak dan matlamat perkahwinan diharuskan dalam Islam.

Oleh itu, atas dasar menjaga maslahah ummah dan kepentingan masyarakat terutama wanita, maka undang-undang memperuntukkan perkahwinan poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib atau wali enggan, hendaklah melalui proses mahkamah.

Mereka yang menghadapi masalah begitu perlu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dulu sebelum melangsungkan pernikahan.

Seksyen 23 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: “Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dulu secara bertulis daripada mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah akta ini.”

Seksyen 18 (1) (a) akta sama memperuntukkan: “Dalam mana-mana kes berikut, iaitu (a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam Seksyen 8, maka pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17 merujukkan permohonan itu kepada hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.”

Seksyen 18 (2) akta sama memperuntukkan: “Hakim syarie apabila berpuas hati mengenai kebenaran perkara disebutkan dalam permohonan itu dan mengenai sahnya perkahwinan yang dicadangkan dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud seksyen 8, atau kebenaran bagi maksud seksyen 14 (3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakad nikahkan oleh wali Raja bagi maksud seksyen 13 (b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya, dan setelah dibayar fi ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenaran untuk berkahwin dalam borang ditetapkan.”

Jika perkahwinan bakal dilangsungkan adalah perkahwinan biasa, bukan poligami, wali perempuan masih hidup dan bersetuju dengan pernikahan itu, prosesnya amat mudah di mana pihak berkenaan hanya perlu memohon kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat bermastautin, tidak perlu melalui proses mahkamah.

Ada pihak termasuk cerdik pandai agama memberi ulasan kononnya peraturan itu menyusahkan orang yang hendak mendirikan rumah tangga. Mungkin mereka lupa atau terlepas pandang, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk membuat undang-undang atau peraturan demi menjaga kepentingan rakyat, keharmonian dan kerukunan masyarakat Islam, supaya tidak berlaku insiden seperti dipaparkan.

Seseorang lelaki atau perempuan yang bernikah tidak mengikut undang-undang sebenarnya bukan mengambil jalan pintas, tetapi jalan jauh, berliku-liku dan memenatkan. Suka atau tidak, undang-undang memperuntukkan pernikahan tidak mengikut undang-undang tidak boleh didaftarkan.

Melainkan, perkahwinan itu sudah disahkan oleh Mahkamah Syariah bahawa ia sah menurut hukum syarak dan diperintahkan oleh hakim syarie untuk didaftarkan. Perintah mendaftarkan juga tertakluk kepada hukuman penalti sama ada denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Jadi, mana jalan singkat yang dikatakan itu? Selagi pernikahan tidak disahkan dan tidak didaftarkan, maka tidak ada rekod di negara ini bahawa mereka pernah berkahwin. Apabila berlaku insiden seperti isteri dipukul, tidak diberikan nafkah, dilacurkan dan sebagainya, isteri tidak berhak membuat tuntutan menurut undang-undang.

Begitu juga jika isteri ingin memohon cerai kerana seksyen 45 (a) atau (b) akta memperuntukkan takat kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat sesuatu perintah perceraian adalah jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut undang-udang dan hukum syarak.

Bagaimana perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak jika Mahkamah Syariah belum mengesahkannya?

Isteri berada dalam keadaan terkontang-kanting. Ada kala apabila tuntutan dibawa ke Mahkamah Syariah, mahkamah dipersalahkan padahal ia berpunca kesilapan sendiri lantaran buta kerana cinta menurut kehendak kekasih.

Akhirnya, diri sendiri yang merana. Hakim syarie hanya mengikut peruntukan undang-undang dan perlu meletakkan hukum syarak sebagai undang-undang tertinggi sebelum membuat apa-apa perintah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Kekuatan spiritual halang keretakan rumah tangga

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 24/03/2010

Pihak berkuasa perlu cari mekanisme pencegahan khusus elak kes perceraian terus meningkat

JUMAAT hingga Ahad lalu, selama tiga hari bertempat di Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, saya berpeluang mengikuti satu program motivasi kepemimpinan yang dikendalikan sebuah syarikat terkenal dari Jakarta, Indonesia.

Saya tertarik dengan pengisian dalam program ini, dan peserta didedahkan dengan konsep tauhid dan kecintaan terhadap Allah, mengenai asal kejadian alam semesta, asal kejadian manusia, kecintaan terhadap Rasulullah SAW, kecintaan terhadap Nabi ‘ulu al-azmi, peringatan terhadap kematian dan lain-lain.

Suatu perkara yang ilmiah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, tetapi dipersembahkan secara kontemporari dan berbeza dengan kecanggihan audio, visual, gabungan paparan sains dan teknologi, serta mengaitkannya dengan keyakinan kepada Allah SWT.

Program ini mensinergikan kekuatan IQ (Intelectual Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) bagi melahirkan manusia cemerlang yang memiliki kekuatan karakter dan membawa perubahan drastik yang positif, melahirkan insan yang dapat memberikan manfaat ke arah pembangunan negara, meletakkan nilai murni keagamaan dan usaha pembentukan ummah di seluruh dunia.

Saya bukan ingin menceritakan mengenai program itu, tetapi setelah menyertainya, saya terpanggil untuk melihat statistik perceraian dan permohonan murtad mutakhir ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, kadar perceraian meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jumlah perceraian pada 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Di setiap negeri, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan di negeri Selangor dengan 3,722 kes, diikuti Kelantan (2,257 kes), Kedah (2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu (1,537), Pahang (1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37).

Berbanding dengan perkahwinan, jumlah yang tertinggi pada 2007 dicatatkan oleh negeri Kedah sebanyak 20,889 diikuti Kelantan (17,201), Selangor (14,817), Johor (13,241), Perak (11,446), Sabah (9,941), Pahang (9,519), Terengganu (8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486).

Secara ironinya, dalam sehari lebih 56 perceraian berlaku dan 359 perkahwinan berlangsung. Kadar perceraian ini meningkat dari tahun ke tahun sejak 2001, iaitu sebanyak 13,187 (2001), 13,841 (2002), 15,543 (2003), 16,509 (2004), 17,708 (2005) dan 2006 sebanyak 21,419.

Punca krisis rumah tangga yang dikenal pasti adalah kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral, penderaan dan pengabaian.

Saya percaya, sudah sampai masanya pihak berkuasa memikirkan suatu mekanisme pencegahan khusus kepada pasangan yang hendak bercerai, sama ada yang baru membuat laporan kaunseling di jabatan agama Islam atau yang sudah mendaftarkan kes perceraian di mahkamah dan mereka diarahkan mengikuti suatu kursus yang khusus dalam tempoh tertentu, agar bahtera rumah tangga yang mula terumbang-ambing itu boleh diselamatkan.

Halangan dari sudut perundangan mungkin ada, namun saya percaya, ada jalan keluar untuk merealisasikan perkara ini. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya adalah di tangan yang Esa, namun Islam tidak menyuruh penganutnya menyerah mudah kepada takdir tanpa sebarang usaha.

Punca perceraian boleh dijadikan tanda aras dalam menentukan modul yang sesuai. Gabungan kekuatan intelektual (IQ) dan emosi (EQ) harus diterapkan, seperti mengenai persiapan, persediaan dan ilmu pasangan dalam menghayati alam rumah tangga, niat dan tujuan berumahtangga.

Yang paling penting penekanan kekuatan spiritual (SQ) dengan meletakkan nilai keagamaan, kecintaan terhadap Allah SWT dan reda-Nya sebagai tonggak utama dalam sesebuah perkahwinan, lebih penting berbanding nilai material atau kepentingan diri.

Seiring dengan pertambahan kadar perceraian, statistik permohonan murtad di Mahkamah Syariah juga menunjukkan trend peningkatan yang tinggi pada 2004 hingga 2006. Ia meningkat setiap tahun, di Selangor sahaja, menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, ada 27 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak 2007 manakala meningkat kepada 42 kes pada 2008.

Pengaruh rakan sebaya, masalah dalam perkahwinan terutama di kalangan mualaf dan tekanan hidup didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada masalah murtad.

Ada juga kes seperti pemohon memang tidak hidup dalam suasana Islam sejak lahir atau dibesarkan dalam keluarga bukan Islam sejak kecil, namun nama yang ada dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

Setakat ini, ada unit khas diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling. Isu keluar Islam membabitkan akidah dan pendirian agama seseorang, lebih-lebih lagi jika sejak kecil mereka tidak mengamalkan Islam, ia sukar dan mengambil masa panjang untuk mengubahnya.

Maka, usaha ini perlu diperkasakan lagi dengan mengadakan suatu program khusus untuk mereka yang hendak keluar Islam, dengan membawa mereka menyusuri asal usul kejadian manusia, kejadian alam, siapakah pencipta manusia dan alam semesta, mengenai kebenaran ayat-ayat al-Quran, kerasulan dan kebenaran Nabi Muhammad SAW, ihsan, iman, ibadah dan kepentingannya.

Program ini juga boleh disertai oleh mereka yang baru berjinak dengan Islam dan yang baru memeluk Islam (mualaf). Sering kali kita menggaru kepala atau menongkat dagu apabila melihat statistik perceraian dan murtad yang meningkat tahun demi tahun, tetapi kita gagal mengambil tindakan sebaiknya bagi menghalang peningkatan itu.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Kahwin lari undang penderitaan

Oleh Mohamad Isa Ab Ralip

Berita Harian, 31/03/2010

Pasangan kekasih perlu buat pertimbangan sebelum bernikah

BARU-BARU ini Pergerakan Puteri Umno menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari membabitkan gadis tempatan dengan lelaki dari wilayah terbabit semakin membimbangkan kini.

Puteri Umno memperoleh maklumat mendakwa kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini, akibat terjerat ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah berkenaan ketika mereka bekerja di negara ini.

Isu sama ada perangkaan itu sahih atau tidak bukan menjadi soal. Isunya kesan buruk atau impak perkahwinan seperti ini harus dikaji dengan lebih teliti kerana ia mungkin memberi banyak kemudaratan daripada kebaikan terutama kepada anak gadis kita ini.

Dikatakan gadis Malaysia, berusia 13 hingga 30 tahun sanggup meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang.

Perkahwinan di antara anak gadis negara kita dengan lelaki dari Lombok dikaitkan dengan percintaan. Benarlah kata pepatah ‘cinta itu buta’ kerana ia memang dapat membutakan mata hati dan fikiran manusia tanpa memikirkan kesan atau impak perkahwinan secara mendalam.

Satu impaknya ialah pernikahan di Lombok dikaitkan dengan trend kahwin lari. Ini bermaksud kahwin lari tanpa mendapat restu keluarga terutama wali. Harus diingat wali adalah elemen penting dalam pernikahan.

Trend pernikahan ini yang membabitkan perwalian dan wali tidak hadir di dalam pernikahan. Jika tiada wali bagaimana dengan kesahihan pernikahan itu? Siapakah wali kepada gadis-gadis berkenaan? Adakah wali hakim? Sekiranya wali hakim, adakah wali itu mempunyai kuasa mewalikan secara wali hakim atau mempunyai tauliah sebagai wali hakim.

Asasnya, sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun, bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.

Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah dan pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil, bagi mengurangkan masalah lain yang mungkin timbul kelak.

Perkara ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia memberi impak kepada pengesahan pernikahan. Itu dari sudut pengesahan dan pastinya dari sudut perundangan pula ia berlawanan dengan peruntukan undang-undang negara kita.

Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran menjadi kesalahan mengikut Akta/Enakmen Keluarga Islam melainkan perkahwinan dijalankan mengikut lunas undang-undang ditetapkan. Antara kesan perkahwinan dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan.

Tujuan pendaftaran bukan sekadar satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah, ia adalah rekod yang mensahihkan perkahwinan itu bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.

Selain itu, perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah.

Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah perkara yang mudah terutama sekiranya ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Sekiranya mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah, ia akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Perkahwinan di luar negara atau negeri bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Ramai tentu tahu mengenai perkahwinan sindiket oleh kadi tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tidak sah. Perkara ini bukan saja kerana pasangan tidak berhati-hati malah kerana berlaku penipuan.

Perkahwinan adalah tanggungjawab dan setiap pasangan harus memikul dengan sebaiknya, bukannya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Peraturan dan undang-undang bukan bertujuan menyusahkan atau membebankan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya kemudaratan yang lebih berat.

Kita tidak mahu mendengar cerita anak diabaikan nafkahnya, isteri yang tidak boleh menuntut harta atau pusaka arwah suami, serta anak dilahirkan tanpa berbinkan atau berbintikan ayah kandungnya.

Kesimpulannya, perkahwinan yang hanya berlandaskan cinta semata-mata tidak wajar dijadikan trend kerana perkahwinan itu suci, diselubungi dengan tanggungjawab dan amanah Allah.

Kita tidak mahu ramai anak gadis mengorbankan masa depan mereka dan anak-anak yang bakal lahir termasuk menyebabkan ibu muda terpaksa membesarkan anak bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air kelak.

Lebih malang sekiranya pernikahan terbabit tidak sah dari segi hukum syarak mahupun berlawanan dengan undang-undang. Justeru, jika inilah impak perkahwinan di Lombok, maka saranan Puteri Umno yang mahu KDN membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok sangat wajar dan perlu diberi perhatian.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam Syarie menulis: Hukum hudud ditetap dalam al-Quran tak boleh dipinda

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 07/04/2010

Sultan ada kuasa eksklusif untuk kurang, ringan, tambah hukuman Mahkamah Syariah

DETIK penantian Kartika Sari Dewi Sukarno selama lebih tujuh bulan berakhir 1 April lalu, apabila Tuanku Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak daripada enam kali sebatan kepada kerja khidmat komuniti selama sebulan.

Setelah keputusan ini dibuat, pelbagai pandangan dan kritikan kedengaran, sama ada negatif atau positif. Keputusan kali pertama dalam sejarah perundangan syariah di negara ini dan di Pahang khususnya, dilihat menjadi polemik perundangan dan menjadi topik perbincangan ahli akademik dan pakar perundangan.

Sebahagiannya melihat keputusan yang dibuat itu berlawanan dengan kuasa diberikan oleh undang-undang kepada Tuanku Sultan. Adalah menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan, sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa eksklusif untuk mengurangkan, meringankan, menambah atau mengubah sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Kuasa eksklusif ini terbahagi kepada dua keadaan, iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) memperuntukkan bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurang, menambah atau mengubah apa-apa hukuman dijatuhkan dengan syarat rayuan sudah dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Ulangbicara (rayuan) dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari daripada tarikh tamatnya ulangbicara kes itu.

Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Dalam keadaan kedua, Baginda Sultan juga mempunyai kuasa untuk meringankan mana-mana hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah.

Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa: “Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu (a) sebat; (b) pemenjaraan atau (c) denda.

Jika menurut peruntukan ini, Baginda boleh meringankan hukuman sebat kepada penjara atau daripada penjara kepada denda. Tidak pula wujud peruntukan bahawa hukuman sebat boleh terus diganti dengan hukuman lain atau digantikan dengan hukuman khidmat komuniti atau apa-apa hukuman lain.

Namun saya yakin dan percaya baginda sudah mendapat nasihat yang sewajarnya daripada mufti negeri berkaitan hukum syarak dan penasihat undang-undang negeri sebelum membuat keputusan itu. Jika nasihat mufti diketepikan, maka keputusan terbabit dibuat tanpa mematuhi kehendak Seksyen 133 berkenaan di atas dan ia boleh jadi ‘ultra-vires’ kepada Enakmen No. 9 Tahun 2004 itu.

Kesan jangka panjang, dikhuatiri selepas ini pesalah akan memohon pengampunan atau diringankan hukuman terus kepada Tuanku Sultan tanpa melalui proses rayuan di Mahkamah Syariah. Keputusan ini juga menggambarkan seolah-olah kuasa Raja mengatasi undang-undang, sedangkan peruntukan undang-undang yang ada menunjukkan kuasa Raja juga tertakluk dan terikat dengan undang-undang.

Buktinya Seksyen 209 Enakmen No. 8 Tahun 1982 menyatakan bahawa kuasa baginda Sultan untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah dengan syarat rayuan dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Syariah. Kuasa ini tidak boleh digunakan sekiranya proses rayuan itu tidak dibuat terlebih dulu.

Seksyen 133 Enakmen No. 9 2004 pula mengehadkan kuasa Sultan untuk meringankan hukuman dengan menggantikan hukuman berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah, dengan mana-mana hukuman yang disebut dalam seksyen berkenaan iaitu sebat pemenjaraan atau denda. Ketiga-tiga hukuman ini adalah sebagaimana yang ada dalam Enakmen No. 8 1982.

Perlu dijelaskan bahawa dalam kes Kartika ini, baginda Sultan menggunakan budi bicara baginda untuk meringankan hukuman yang sudah dijatuhkan, bukanlah bermaksud baginda mengampunkan terus kesalahan Kartika Sari yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah. Kartika Sari adalah seorang pesalah yang menerima hukuman atas kesalahan dilakukannya.

Mahkamah Syariah tetap dengan martabat dan hirarkinya. Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie juga tetap dengan tugas dan peranan masing-masing. Kesalahan meminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud menurut Islam. Hukuman hudud adalah hukuman ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan sunnah.

Hukuman Hudud ini adalah hak Allah, yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah-suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah, yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah melalui Rasul-Nya yang disebutkan di dalam al-Quran atau hadith adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Kekhuatiran juga timbul di mana keputusan ini akan menjadi ikutan kepada kes sama atau hampir sama berikutnya pada masa akan datang. Suka saya jelaskan di sini bahawa di Mahkamah Syariah tidak memakai prinsip duluan mengikat (precedent) sebagaimana di Mahkamah sivil. Maka keputusan Baginda Sultan Pahang ini tidak mengikat kes-kes selepasnya dan tidak mengikat kes di negeri lain.

Penantian Kartika Sari mungkin berakhir, tetapi perbahasan mengenai keputusan itu mungkin akan terus dibincangkan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: 5 tahun Akta Keluarga Islam Wilayah tertangguh

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 05/05/2010

Kelewatan laksana pindaan 2005 beri persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah

TENTU anda masih ingat, ketika pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 26 September 2005, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dengan tujuan memperbaiki Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 sedia ada. Rang undang-undang ini diwartakan menjadi undang-undang pada 22 Disember 2005.
Bagaimanapun, undang-undang ini mendapat bantahan beberapa pihak sehingga menimbulkan kontroversi, kerana dikatakan mengandungi diskriminasi dan penindasan terhadap wanita Islam. Susulan itu, Kabinet pada 11 Januari 2006 menangguhkan pewartaan undang-undang ini walaupun ia diluluskan Parlimen.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata ia tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya dilakukan tetapi sehingga kini, ia masih tertangguh meskipun setelah hampir lima tahun.

Sebagai pengamal di Mahkamah Syariah, saya dan rakan serta masyarakat terutama pemastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada undang-undang itu.

Bilakah akta itu akan diwartakan? Berapa lama lagikah tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu? Sebagai negeri yang bersifat persekutuan, Wilayah Persekutuan seharusnya mendahului negeri lain dalam melaksanakan undang-undang semasa dan terkini.

Dalam konsep penyeragaman undang-undang syariah negeri, Wilayah Persekutuan sepatutnya menjadi contoh kepada undang-undang di negeri lain. Namun hakikatnya sekarang, Wilayah Persekutuan adalah negeri yang terkemudian dan ketinggalan berbanding negeri lain.

Antara isu ditimbulkan ketika bantahan undang-undang itu adalah mengenai isu empat syarat yang harus dipatuhi suami berdasarkan pindaan peruntukan undang-undang itu khususnya bagi frasa ‘patut atau perlu’. Mereka membantah, ia sepatutnya dibaca sebagai ‘patut dan perlu’.

Setakat ini di Selangor sudah mengguna pakai frasa ‘patut atau perlu’ sejak 2003 dan tidak timbul sebarang masalah sehingga ini.

Bagi suami yang memohon poligami, memang wujud keadaan ‘patut atau perlu’, iaitu apabila seorang suami berpendapatan rendah yang tidak patut berkahwin lain, tetapi dia mungkin perlu untuk beristeri lagi jika isteri pertamanya tidak mampu melaksanakan kewajipan rumah tangganya termasuk menunaikan nafkah batin atau jika isteri pertamanya mempunyai kecacatan fizikal seperti lumpuh anggota badan.

Realitinya, si suami yang ingin berpoligami atau memohon mendaftarkan pernikahan poligaminya akan mencadangkan sendiri apakah harta sepencarian yang akan diberikan kepada isteri sedia ada. Begitu juga dengan nafkah isteri dan nafkah anak. Pada ketika inilah si suami perlu menundukkan egonya dan mengambil hati si isteri, bagi membolehkan permohonan mereka dipermudahkan oleh si isteri tanpa bangkangan.

Isu lain yang dibantah ialah hak diberikan kepada suami untuk memfasakhkan nikah dengan isteri. Permohonan fasakh suami bukanlah kuasa baru diberikan kepada suami selain kuasa menjatuhkan talak. Berdasarkan hukum syarak, tuntutan fasakh juga boleh dibuat oleh pihak suami. Pengalaman saya apabila Undang-Undang Keluarga Islam Selangor diwartakan sejak 2003, bilangan kes fasakh difailkan oleh suami boleh dihitung dengan jari.

Ini kerana tuntutan fasakh memerlukan beban pembuktian di pihak yang mendakwa di mahkamah, dengan suami perlu mengemukakan keterangan, bukti dan saksi bagi membuktikan keaiban di sebelah isterinya. Si suami tidak akan memilih jalan panjang untuk menceraikan isterinya, walhal ada jalan mudah dan cepat.

Realitinya yang berlaku kini, suami yang ingin berpoligami akan lari memohon di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak ada peruntukan bahawa bakal isteri dan bakal wali akan dipanggil ke mahkamah.

Begitu juga suami yang sudah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri pertama akan memfailkan permohonan mengesah dan mendaftarkan pernikahannya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak wujud peruntukan yang membolehkan isteri sedia ada dipanggil menentukan pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan nafkah anak.

Pihak mahkamah syariah hanya memutuskan sesuatu tuntutan atau permohonan berdasarkan undang-undang yang diwartakan.

Jika mahkamah bertindak melangkaui undang-undang sedia ada, ia akan menjadi ‘ultra virus’. Jadi siapa yang rugi dengan protes yang dibuat oleh pihak tertentu pada 2005 itu? Bukankah wanita juga. Siapa pula menganiayai dan menzalimi wanita ini sejak 2005 sehingga sekarang? Adakah undang-undang yang sudah diluluskan itu atau pihak yang mengemukakan protes itu?

Penangguhan pelaksanaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan itu secara retoriknya memberi persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah negara dan mahkamah syariah sebagai tidak berlaku adil terhadap kaum wanita.

Hakikatnya, undang-undang yang sama sudah berjalan sekian lama di negeri lain tanpa sebarang kelemahan. Undang-undang diamalkan sekarang sudah wujud sejak 24 tahun lalu, tidak lagi sesuai dengan nilai semasa.

Selepas lima tahun tertangguh, saya yakin golongan wanita negara ini menaruh harapan agar Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005), akhirnya dapat dilaksanakan.

Sekretariat Advokasi dan Pemerkasaan Wanita (Senada) yang ditubuhkan pada 20 Jun 2008, boleh memainkan peranan proaktif agar undang-undang keluarga Islam yang tertangguh ini dapat dibawa sekali lagi ke Kabinet dan Parlimen.

Pindaan ini mempunyai implikasi besar terhadap usaha untuk membela nasib wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam. Tempoh lima tahun adalah suatu waktu terlalu lama dan boleh menyebabkan ketidakadilan. Justifikasi keadilan dalam Islam hanya berlaku apabila kita meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Unsur judi jejas pembangunan sukan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 12/05/2010

Usaha membenar pertaruhan untuk apa tujuan dilarang syarak

PIALA Dunia kembali lagi. Di sebalik keghairahan menanti aksi pemain bola sepak ternama dunia serta semangat penyokong fanatik mereka, timbul isu membabitkan kumpulan yang mengambil kesempatan daripada temasya suka gilang-gemilang itu. Mereka ialah orang yang mempertaruhkan wang bagi tujuan perjudian.

Isu judi atau pertaruhan bukan baru kerana sering dikaitkan dengan penganjuran acara besar seperti Piala Dunia. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90) Judi adalah pertaruhan harta ataupun nilai. Dalam perjudian, yang kalah permainan mesti membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang. Ada banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian seperti membeli nombor ekor, menyabung ayam dan judi bola sepak.

Lazimnya, perjudian dianggap sebagai amalan buruk kerana ia satu bentuk pengagihan harta secara tidak adil. Dalam perjudian, pihak yang menang akan mendapat harta tanpa melakukan apa-apa kerja tetapi bergantung kepada nasib.

Perjudian dilarang kerana banyak perkara mudarat timbul daripadanya seperti menyebabkan ketagihan hingga sanggup mengabaikan kerja, keluarga selain memerlukan modal.

Lebih teruk, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak berlandaskan kepada akal logik.

Sesetengah mereka sanggup melakukan perbuatan syirik dengan mencari bantuan ghaib untuk kejayaan. Contohnya, mendapatkan bantuan ‘keramat’ memuja pokok, busut dan pelbagai lagi kerana percaya pemujaan itu akan meningkatkan tuah mereka.

Tanpa disedari, perbuatan itu bukan saja membazir wang dan masa malahan memesongkan akidah kerana pemikiran dipengaruhi unsur ghaib kerana percaya dapat membantu mereka menang dalam pertaruhan.

Selain itu, perjudian mendorong kepada aktiviti meminjam wang daripada ceti haram bagi tujuan mendapatkan modal atau untuk membayar hutang. Kesan teruk ialah apabila hutang kepada ceti haram gagal dibayar hingga berlaku jenayah tidak diingini.

Judi juga menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompak, curi dan samun kerana mereka ini berkehendakkan wang untuk tujuan berjudi atau menebus hutang dengan ceti haram.

Justeru, Islam mengharamkan judi kerana kesan amat buruk kepada diri dan masyarakat serta barang siapa yang dapat menjauhkan diri daripadanya adalah tergolong dalam orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Perbuatan judi bertentangan tuntutan agama dan menjadi satu kesalahan mengikut akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri di Malaysia.

Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Namun demikian, Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh tidak disabitkan atas kesalahan seperti di atas jika ia dapat memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa rumah itu ialah rumah judi.

Dalam mentafsirkan apa dimaksudkan dengan rumah judi, peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 (3) mentafsirkan rumah judi adalah mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai sama ada terbuka atau tertutup yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh undang-undang lain sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Jelas, judi adalah perkara terlarang daripada sudut hukum syarak serta undang-undang syariah. Oleh itu, sebarang usaha mana-mana pihak mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 adalah tindakan tidak wajar dan perlu dibantah.

Sebarang bentuk pertaruhan adalah judi walau apapun alasannya sama ada bagi mengawal aktiviti perjudian dan hasilnya digunakan untuk pembangunan sukan.
Hakikatnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram hukumnya dalam Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Isu Peguam Syarie: PGSM Kesal

Sabtu Mei 15, 2010
Isu Peguam Syarie: PGSM Kesal
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini kesal dan terkejut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil yang membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk bertugas sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang berkata, PGSM memandang serius perkara ini dan mereka akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan martabat Mahkamah Syariah dan peguam syarie di negara ini dapat dipertahankan.

"Mengikut Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan hanya warganegara beragama Islam layak memohon dan beramal sebagai Peguam Syarie di Mahkamah Syariah.
"Sebagai peguam di Mahkamah Syariah, mereka perlu berhujah dengan menggunakan dalil al Quran, al-Hadith yang berlandaskan hukum syarak," katanya kepada mStar Online hari ini.

Oleh itu, Musa berkata, keputusan hakim membenarkan orang bukan Islam bertindak sebagai peguam di Mahkamah Syariah bererti mereka akan merendahkan taraf al-Quran dan meletakkan hukum syarak pada tahap yang sangat rendah.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada Victoria untuk mendapatkan semakan kehakmian bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk beliau sebagai peguam syarie.
Ini adalah kes pertama Malaysia apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Victoria, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.

Peguam Syarie Menulis: Memartabatkan imej Mahkamah Syariah

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 19/05/2010

Pengumuman naik taraf perjawatan Hakim Syarie disambut baik

PENGUMUMAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, untuk menaik taraf Mahkamah Syariah, mewujudkan perjawatan secara berpusat dan menaik taraf hakim Mahkamah Syariah adalah langkah yang disambut baik dan amat ditunggu-tunggu.

Pengumuman ketika merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Jumaat lalu, pastinya memberi nafas baru bagi perundangan Islam di negara ini.

Langkah itu sesuai dengan situasi sekarang yang mana Mahkamah Syariah menjadi tempat rujukan orang Islam selain adanya usaha ke arah memartabatkan undang-undang Islam supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada Mahkamah Sivil. Pindaan itu menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan Mahkamah Sivil sekali gus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Namun, selepas 20 tahun, kedudukan Mahkamah Syariah pada hakikatnya masih pada taraf rendah berbanding Mahkamah Sivil daripada sudut hieraki, perjawatan, jaminan perjawatan, keselarasan dan penyeragaman undang-undang serta penghakiman.

Begitu juga persepsi masyarakat, lambang dan prestij, infrastruktur, prasarana, latihan kepada pegawai, undang-undang dan penguatkuasaan, skim dan gred penggajian kakitangan, bidang kuasa perundangan, perlantikan hakim dan banyak lagi.

Pada masa kini, hanya ada tiga tingkatan Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Berbanding empat tingkatan di Mahkamah Sivil iaitu Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret.

Maka dengan cadangan terbaru berkenaan, tingkatan Mahkamah Syariah akan dinaik taraf kepada Majlis Rayuan Syariah (Syariah Privy Council), Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Tengah Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Peningkatan taraf Mahkamah Syariah ini harus sejajar peningkatan taraf perjawatan hakim dan pegawai. Kini, hakim Mahkamah Syariah adalah penjawat awam pada peringkat negeri, kecuali bagi negeri menerima skim perkhidmatan guna sama di bawah penyeliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada peringkat pusat.

Berbeza hakim di Mahkamah Sivil, hakim Mahkamah Tinggi dan ke atas adalah anggota Badan Kehakiman Negara yang dilantik di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) pada peringkat persekutuan.

Jaminan perjawatan hakim di Mahkamah Syariah tertakluk kepada prosedur perkhidmatan awam, berbanding jaminan perjawatan hakim di Mahkamah Sivil yang tertakluk kepada Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).

Gaji hakim di Mahkamah Syariah jauh lebih rendah berbanding di Mahkamah Sivil. Contoh, gaji hakim Mahkamah Rayuan Sivil adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding gaji hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Ini tidak termasuk elaun lain.

Sehingga kini, belum ada akademi latihan khusus bagi meningkatkan tahap profesionalisme kehakiman dan perundangan syariah seperti fungsi Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) yang menjadi pusat latihan kepada hakim serta pegawai Mahkamah Sivil. Akademi latihan seumpama ini boleh dijadikan pusat meningkatkan profesionalisme peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah.

Ketidakseragaman undang-undang berhubung penubuhan Mahkamah Syariah serta undang-undang syariah antara negeri masih menjadi masalah yang rencam.

Keadaan ini berbeza di Mahkamah Sivil yang mempunyai undang-undang seragam di seluruh negara yang diterima pakai semua Mahkamah Sivil seperti Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Prinsip duluan mengikat yang diterima pakai di Mahkamah Sivil tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Akibatnya, keputusan hakim di satu negeri boleh berbeza dengan keputusan hakim di negeri lain, walaupun fakta persoalannya adalah sama.

Daripada sudut positif, ia membuka ruang kepada hakim untuk berijtihad. Namun negatifnya, masyarakat melihat keputusan berbeza itu dalam isu atau persoalan sama, sepatutnya tidak berlaku kerana negara berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah, terutama pandangan ulama Mazhab Syafie.

Mengambil contoh kes kontroversi Kartika Sari Dewi Sukarno. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengenakan hukuman enam sebatan terhadap Kartika dipertikaikan pelbagai pihak sehingga ke peringkat asas hukuman itu sendiri.

Sedangkan, hakim hanya melaksanakan undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri. Berbeza penghakiman Mahkamah Sivil, keputusan hakim tidak disanggah malah diiktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Di Mahkamah Sivil ada lambang dan adat kebesaran mahkamah seperti cokmar dan pakaian rasmi yang menggambarkan prestij serta imej mahkamah selaras di seluruh negara. Namun lambang dan pakaian rasmi Mahkamah Syariah berbeza antara satu sama lain. Sepatutnya lambang dan kebesaran Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam diserlahkan dan diseragamkan di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Menaik taraf Mahkamah Syariah bukan bermakna ingin merampas kuasa Mahkamah Sivil, tetapi sebenarnya hanya mahu mengembalikan martabat dan fungsi Mahkamah Syariah suatu masa dulu sebelum Inggeris bertapak dan memperkenalkan sistem perundangan barat di negara ini.

Jayaseele digesa batal semakan

Jayaseele digesa batal semakan
Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my
2010/05/22

Bukan Islam tak patut jadi peguam syarie

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Victoria Jayaseele Martin, peguam wanita bukan Islam yang memohon diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan, mempertimbangkan semula dan menarik balik permohonan semakan kehakiman beliau demi keharmonian Islam dan agama lain di negara ini.

Presiden persatuan itu, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata pihaknya juga mendesak negeri yang tidak menetapkan syarat Islam dalam kaedah atau peraturan peguam syarie segera berbuat demikian selain menggesa mufti mengeluarkan fatwa rasmi pada peringkat kebangsaan dan negeri yang hanya membolehkan orang Islam menjadi peguam syarie.

Beliau berkata, menyerahkan tugas peguam syarie kepada bukan Islam akan mencemarkan kesucian agama Islam dan boleh menyebabkan berlaku salah tafsiran terhadap hukum syarak, sekali gus mengelirukan masyarakat.

Katanya, peranan utama peguam syarie di mahkamah Syariah bukan saja membantu anak guam malah membantu mahkamah dan Hakim Syarie dalam soal dakwaan, keterangan, bukti, hujah, qarinah, ikrar serta khidmat nasihat kepada anak guam mengenai hukum hakam Islam dan soal prosiding mahkamah.

“Peguam juga perlu berhujah dengan dalil dari sumber hukum syarak iaitu al-Quran dan al-Sunnah, al-Ijma, al-Qiyas, amalan sahabat serta pandangan ulama muktabar.

“Kebanyakan rujukan dalil dan nas ada dalam kitab muktabar yang menggunakan bahasa Arab. Menyerahkan tugas peguam syarie kepada bukan Islam boleh mencemarkan kesucian agama dan menyebabkan berlaku salah tafsiran terhadap hukum syarak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jayaselee mengemukakan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang enggan menerimanya menjadi peguam syarie.

Peguam Syarie Menulis: Peguam syarie mesti ada roh Islam bagi tentang kezaliman

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian, 26/05/2010

Khidmat utama ialah menegakkan keadilan, bela nasib anak guam

SEKIRANYA kita memperkatakan mengenai peguam syarie, tergambar di benak fikiran kita bahawa dia adalah seseorang yang menjadi peguam, membela anak guamannya di Mahkamah Syariah bagi kes yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Lazimnya, peguam syarie akan memberikan khidmat guamannya kepada pelanggan untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya daripada peguamnya.

Dengan harapan anak guam itu, timbul persoalan sama ada peguam syarie yang dilantik oleh anak guam itu akan membela anak guamnya tanpa mengira sama ada anak guam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa sama ada seseorang peguam syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai peguam syarie, amanah Allah hendaklah diutamakan.

Dalam menjalankan amanah Allah ini, seorang peguam syarie hendaklah meletakkan pada dirinya sikap untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang kezaliman termasuk tidak bersekongkol dengan kezaliman.

Sehubungan dengan itu, peguam syarie mestilah Islam serta mempunyai roh atau kepercayaan Islam bagi menentang segala kezaliman serta menegakkan keadilan. Persoalan timbul mengapa perlu seorang peguam syarie menegakkan keadilan?

Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak. Syariah atau undang-undang Islam bertujuan menegakkan keadilan mutlak.

Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya daripada dicabul, merampas hak orang lain bererti zalim. Islam tidak pernah bertolak ansur dalam menegakkan keadilan.

Keadilan yang wajib ditegakkan meliputi semua aspek dan bidang, termasuk dari segi undang-undang, pembahagian kekayaan, tindak-tanduk dan seterusnya. Ini termasuk dari segi mendengar perbicaraan, memutuskan kes, mengemukakan fakta, keterangan dan pengolahan serta pembentangan kes semasa perbicaraan.

Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam. Peguam juga hendaklah mematuhi perintah Allah ini. Mereka wajib menegakkan keadilan walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan.

Keredaan Allah hendaklah menjadi matlamat hidup. Hawa nafsu, perasaan kasihan dan marah tidak boleh menjadi motif tindakan. Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang dalam sesuatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredaan Allah dan kemuncak kejayaan dalam menjalankan tugas serta memainkan peranan sebagai peguam ialah berjaya menegakkan keredaan Ilahi.

Peguam yang melaksanakan tugasnya dengan cermat, amanah dan adil bererti melakukan ibadah kepada Allah. Selain peguam syarie berperanan menegakkan kebenaran, mereka ini juga berperanan menentang segala bentuk kezaliman.

Ini kerana undang-undang Islam bertujuan memberi keadilan dan mengelakkan kezaliman. Kepentingan individu hendaklah dipelihara di samping kepentingan masyarakat, hak individu dijamin, dipelihara dan dipertahankan, setiap pencabulan dan kezaliman hendaklah dielakkan serta dihapuskan.

Dengan mempunyai asas untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang bentuk kezaliman, peguam syarie mempunyai peranan besar di mahkamah. Tugas peguam syarie sebagai pegawai mahkamah ialah membantu mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Selain itu, peguam syarie juga bertindak sebagai wakil anak guamannya dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan peguam syarie, tugas dan tanggungjawab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip wakalah.

Umumnya hubungan di antara peguam syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah dalam Islam. Perkataan wakalah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah.

Apabila dikatakan seseorang itu ‘wakil’ bererti ia adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan dilakukannya. Justeru itu, prinsip wakalah ini hendaklah disalurkan kepada orang yang berkelayakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.” (Surah Al-Isra:2)

Seorang peguam syarie juga hendaklah seorang yang berakhlak mulia seperti dituntut Islam. Selain itu juga seorang peguam syarie juga perlu mempunyai niat baik serta meniatkan tugas dan peranannya sebagai suatu ibadah kerana ia adalah tugas mulia yang pernah dimainkan oleh sahabat.

Peguam syarie juga hendaklah berpengetahuan syariah yang mendalam. Pengetahuan syariah tidak akan mendalam jika mereka tidak berkemampuan untuk merujuk kepada kitab-kitab muktabar. Selain itu, peguam syarie juga mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan tugas mereka seperti Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara dan sebagainya.

Dengan itu, peguam syarie hendaklah mempertingkatkan kemampuan mereka mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan tugas mereka. Akhlak sebagai Islam hendaklah dihayati dan etika sebagai seorang peguam syarie hendaklah dijaga agar profesion ini dipandang tinggi.

Ini juga tugas serta peranan Rasulullah dan sahabat terdahulu dalam menegakkan hukum Allah di muka bumi ini serta bagi menentang sebarang bentuk kezaliman. Justeru, seseorang yang mahu mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah termasuk peguam syarie bukan saja perlu mahir dengan undang-undang, beragama Islam malah perlu menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam agar yang hak dapat ditegakkan dan yang batil dapat dihapuskan.

Peguam Syarie Menulis: Profesionalisme angkat martabat Mahkamah Syariah

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2010/06/02

Kakitangan institusi syarie perlu berilmu elak kekeliruan masyarakat

DALAM membicarakan isu membabitkan Mahkamah Syariah, banyak pihak menganggapnya hanya berfungsi sebagai mahkamah keluarga tanpa melihat sudut perundangan dan kepentingan Mahkamah Syariah itu sendiri. Disebabkan pandangan dan persepsi sedemikian, kedudukan institusi syariah itu tidak begitu disegani mahupun diberi perhatian oleh masyarakat awam.

Persoalan timbul penyebab yang menjadikan pandangan sedemikian? Bagaimanakah caranya meletakkan Mahkamah Syariah itu pada tahap sewajarnya selaras dengan peruntukan atau kuasa diberikan kepadanya?

Saya berpendapat ada tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian untuk memartabatkan institusi syariah terutama Mahkamah Syariah.

• Perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah aspek pentadbiran dan pengurusan.

Kakitangan yang menerajui institusi syariah perlu berpengetahuan dalam setiap perkara di bawah bidang pentadbirannya, bermula pada peringkat bawahan sehingga ke peringkat atasan.

Kita sering mendengar rungutan penjelasan diberikan berlainan dengan realiti. Sebagai contoh, sesetengah kes dikatakan mudah diselesaikan tetapi hakikatnya, ia membabitkan banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum kes itu boleh diselesaikan.
Begitu juga daripada sudut kesalahan jenayah syariah, dengan penjelasan yang diberikan, amat mudah dan tidak mengambil kira aspek hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah. Akibatnya, ramai terkejut apabila hukuman penjara bagi sesetengah kesalahan jenayah syariah seperti diperuntukkan dalam enakmen negeri.

Setiap kakitangan yang terbabit dalam institusi syariah sama ada di mahkamah atau pejabat agama negeri perlu memahami prosedur serta perjalanan sesuatu kes supaya tidak timbul kekeliruan kepada masyarakat. Mereka juga perlu mempunyai ilmu berkaitan sistem pentadbiran syariah itu sendiri. Ini seterusnya akan mengelakkan rungutan terhadap kakitangan yang tidak mahir, salah penerangan dan tidak profesional.

Disebabkan tiadanya pengetahuan dalam bidang kerja mereka itu, maka timbul sikap lain yang boleh menjejaskan institusi pentadbiran syariah itu sendiri antaranya sikap tidak mesra pelanggan, sering bermasam muka, tidak suka membantu dan tidak ikhlas.

Dalam isu berkaitan kekeluargaan misalnya, sikap yang lebih mesra perlu ditonjolkan kerana ia membabitkan permasalahan keluarga yang memerlukan bimbingan bagi mengurangkan kekusutan dialami masyarakat.

Walaupun nampak remeh, ia perkara utama yang menjadi asas dalam memartabatkan institusi syariah. Sikap profesional harus bermula daripada kakitangan dan pentadbiran institusi syariah itu sendiri. Persepsi buruk berkaitan institusi syariah perlu dikikis.

• Aspek kedua yang perlu diberi perhatian adalah berkaitan prosedur undang-undang. Pegawai mahkamah termasuk hakim dan juga peguam diharap tidak meminggirkan prosedur perjalanan kes. Ini penting kerana ia menampakkan sikap profesional mahkamah.

Mahkamah Syariah bukanlah tempat mencari simpati terhadap masalah dihadapi, sebaliknya adalah tempat pengadilan terhadap sesuatu perkara yang diajukan kepadanya. Oleh itu, setiap prosedur perundangan yang ditetapkan perlu dipatuhi supaya lebih teratur dan memenuhi prinsip keadilan ditetapkan syarak. Hakim, peguam dan pegawai mahkamah perlu memainkan peranan masing-masing selaras dengan tuntutan syarak.

Mungkin isu berkaitan prosedur tidak banyak menjadi persoalan di bandar besar, namun ia harus sejajar di setiap negeri supaya wujud keselarasan dalam melaksanakan penghakiman. Walaupun prosedur ditetapkan berbeza di setiap negeri, ia tidak menghalang mahkamah melaksanakan prosedur itu selaras dengan peruntukan ditetapkan.

Janganlah disebabkan isu dikemukakan berkaitan permasalahan rumah tangga, prosedur perjalanan kes itu diabaikan. Jika prosedur diperuntukkan dalam setiap negeri dipatuhi, nescaya ia meletakkan mahkamah syariah pada kedudukannya yang tersendiri.

Mahkamah perlu melaksanakan satu garis panduan yang teratur dalam setiap kes tidak kira membabitkan isu rumah tangga atau isu jenayah syariah yang secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kedudukannya di mata masyarakat.

• Perkara ketiga adalah membabitkan perintah mahkamah dan pelaksanaannya. Dalam hal ini, banyak yang mempersoalkan perintah Mahkamah Syariah itu tidak memberi kesan sedangkan hakikatnya, perintah Mahkamah Syariah sebenarnya mempunyai kesan sama dengan perintah dikeluarkan mahkamah sivil.

Hakim dan juga pegawai mahkamah seharusnya lebih tegas dan berani mengeluarkan perintah di bawah bidang kuasanya dan berani melaksanakan perintah dikeluarkan berlandaskan prinsip syarak. Hukuman dijatuhkan perlu dibuat tanpa mengira kedudukan individu terbabit.

Mengambil contoh kes membabitkan kesalahan poligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur baru-baru ini. Tindakan berani dilaksanakan hakim apabila menjatuhkan hukuman penjara menunjukkan Mahkamah Syariah bebas daripada sebarang pengaruh luaran.

Ia juga menunjukkan mahkamah mempunyai kuasa dan haknya tersendiri selaras dengan peruntukan undang-undang diberikan. Hakim dan pegawai mahkamah perlu berani menguatkuasakan hukuman atau perintah yang dikeluarkan supaya integriti Mahkamah Syariah tidak dipersoalkan.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam Syarie Menulis : Caruman KWSP tidak dikira harta sepencarian

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian, 09/06/2010

TIMBUL persoalan sama ada wang simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah harta milik peribadi pencarum atau sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh satu pihak lagi, bekas isteri mahupun bekas suami.

Harta berupa caruman wang KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Dengan itu, KWSP adalah harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu.

Melihat kepada konsep dan kepentingan ini, maka fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000, menjelaskan seperti berikut:

Wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid;
• Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid;
• Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia. Fatwa itu menjelaskan perkara berikut:
• Wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka.
• Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.

Berdasarkan fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa wang simpanan KWSP adalah hak milik mutlak pencarum yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia dan bukan harta sepencarian.

Oleh yang demikian, tuntutan yang berkaitan dengan wang simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas. Penolakan ini juga wajar kerana selari dengan Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mentafsirkan seperti berikut:

‘Harta sepencarian’ ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak. Di bawah seksyen sama, hukum syarak diertikan sebagai ‘hukum syarak mengikut Mazhab Shafie iaitu mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali.’

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang JAKIM hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank.

Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberi pendapat dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: “Penama KWSP, wang simpanan pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.”

Jelasnya, konsep dan pembahagian harta sepencarian di Malaysia dikanunkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Mahkamah Syariah negeri-negeri diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian bagi mana-mana pasangan orang Islam yang bercerai.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam Syarie Menulis: Proses bicara Mahkamah Syariah ibarat merebut Piala Dunia

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 16/06/2010

Pihak buat tuntutan perlu ambil inisiatif, bijak rangka strategi raih keadilan, kejayaan

PUSINGAN akhir Piala Dunia 2010 siri ke-19 bermula 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 11 Julai nanti. Sebanyak 32 pasukan bertarung bagi merebut piala terulung dalam sejarah bola sepak dunia. Pelbagai strategi diatur, latihan berterusan dan khidmat jurulatih profesional diambil bertujuan meraih kemenangan berprestij itu.
Setakat ini beberapa pasukan sudah bermain pada peringkat awal. Ada pasukan yang menang, seri dan kalah. Anda tentu sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan bertemu pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Saya bukan hendak bercerita mengenai bola sepak, tetapi saya cuba mengaitkan realiti bola sepak piala dunia dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah dewasa ini.

Orang yang datang ke Mahkamah Syariah terdiri pelbagai golongan, daripada orang kampung sehinggalah gololongan cerdik pandai. Terma dan prosedur digunakan di mahkamah adalah terma undang-undang yang asing bagi mereka yang bukan profesional dalam bidang perundangan.

Ada juga yang datang ke Mahkamah Syariah hendak meminta pertolongan, sedangkan umum tahu bahawa mahkamah adalah tempat pengadilan bukan tempat bantuan. Pihak yang memohon kepada mahkamah perlu tahu apa yang ingin dipohon.

Mereka bukan saja sekadar tahu bercakap, malah perlu tahu apa yang dicakapkan. Mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berjaya dalam tuntutan mereka.
Sebagai perumpamaan, mengambil semangat kehangatan kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung, mahkamah boleh diumpamakan seperti sebuah stadium bola dengan hakim sebagai pengadil, dan pihak yang hadir ke mahkamah adalah pasukan yang sedang berlawan untuk meraih kemenangan dan keadilan.

Maka pihak terbabit perlu tahu dan mahir bagaimana menggelecek, membawa bola dan memikirkan sendiri bagaimana menjaringkan gol kemenangan. Hakim hanya bertindak sebagai pengadil yang mengadili perlawanan itu menurut pandangan zahir hakim terbabit, dengan kuasa undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Jika pihak yang berlawan itu tidak tahu atau tidak mahir bagaimana untuk menjaringkan gol kemenangan, mereka boleh melantik jurulatih profesional dan mahir untuk melatih mereka dari segi fizikal dan mental. Bekas pemain ternama yang memiliki kepakaran bermain diambil sebagai jurulatih pasukan.

Hanya menyebutkan beberapa nama seperti Diego Maradona (Argentina), Joachim Loew (Jerman), Morten Olsen (Denmark), Marcello Lippi (Itali) adalah antara jurulatih yang gigih merekrut pelatih bagi memastikan anak didik mereka meraih kemenangan dalam kejohanan teragung itu.

Sama juga keadaannya di mahkamah. Mereka yang mahir dan pakar di Mahkamah Syariah adalah peguam Syarie yang sememangnya terbabit secara langsung dalam bidang guaman. Pihak yang mempunyai kes di mahkamah boleh melantik peguam Syarie yang bijaksana bagi membantu mereka menangi sesuatu kes.

Peguam Syarie bukanlah suatu profesion baru. Profesion ini wujud sejak zaman Nabi Yusuf AS dan ia diceritakan di dalam al-Quran.

Allah berfirman bagi menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha, bermaksud: “Jika baju khamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang yang dusta. Dan jika khamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk di kalangan orang yang benar.” (Surah Yusuf, ayat 27)

Baginda Rasulullah SAW pernah mewakilkan ‘Amru bin Umaiyyah al-Damiri untuk menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Baginda juga mewakilkan Abu Rafi’i untuk menerima pernikahan Maimunah al-Harith.

Di zaman kebuluran ketika pemerintahan Saidina Umar, seorang wanita berkahwin membuat ikrar melakukan zina, mengandung dan meminta Umar menjalankan hukuman rejam.

Saidina Ali meneliti kes terbabit dan mendapati perempuan itu diperkosa semata-mata untuk menyelamatkan dirinya daripada mati kebuluran. Saidina Ali bertindak se-bagai peguam, dan wanita berkenaan dibebaskan.

Kehadiran peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan prinsip ‘wakalah bi al-khusuma’h, di mana peguam boleh menerima upah kerana Rasulullah SAW pernah melantik wakil Baginda untuk mengutip zakat dengan memberi mereka upah. Pelantikan peguam dengan upah perlu ada akad perjanjian.

Peguam hendaklah melaksanakan tugas yang diwakilkan kepadanya dan tidak boleh meninggalkan tugas berkenaan melainkan ada keuzuran yang diharuskan syarak.
Jika tidak disebutkan banyak mana upahnya, maka ia adalah berdasarkan uruf dan kebiasaannya atau upah yang sebanding dengannya (ajru al-mithhi).

Upah peguam adalah berdasarkan senioriti, kepakaran, jarak perjalanan dan sebagainya. Jadi pihak yang ingin melantik peguam mempunyai pilihan sama ada ingin melantik yang junior dan murah atau yang senior dan tinggi upahnya.

Semua proses di mahkamah tertakluk kepada peraturan dan undang-undangnya.
Hanya kesungguhan dan kemahiran pihak yang terbabit saja menjadi penentu dalam kes mereka. Hakim sebagai orang tengah tidak boleh membantu mana-mana pihak dalam perlawanan itu. Hakim juga hendaklah membuat keputusan dengan bebas dan tidak boleh mengasaskan keputusannya kerana tekanan atau dengan harapan mendapatkan imbuhan daripada mana-mana pihak.

Sikap menyalahkan, melemparkan pelbagai tohmahan dan kritikan yang tidak membina kepada Mahkamah Syariah adalah sama seperti keadaan dalam perlawanan bola sepak, yang ada penonton hadir menyaksikan perlawanan itu.

Bukan semua penonton bola sepak itu pandai bermain. Sesetengahnya kaki bangku tetapi gemar mengkritik dan menyalahkan pemain di dalam padang seolah-olah mereka lebih hebat daripada pemain sebenar.

Ada di kalangan mereka yang melontar mercun, bekas minuman atau memaki hamun pengadil dengan berkata pengadil lembap, tidak pandai main, berat sebelah dan sebagainya. Jika mereka benar-benar hebat bermain, kenapa tidak saja mereka turun padang bermain atau menjadi jurulatih kepada pemain dalam padang itu?

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Bapa bertanggungjawab tak abai anak

Oleh Mohd Isa Abd Ralip

2010/06/23

Tuntutan nafkah tetap menjadi tanggungan ketua keluarga walaupun selepas bercerai

KITA baru saja menyambut Hari Bapa beberapa hari lalu. Tidak salah menyambut Hari Bapa sempena memberi penghormatan kepada bapa yang membesarkan kita dari kecil hingga dewasa sehinggalah kita menjadi insan berguna. Jasa dan pengorbanan bapa haruslah dikenang kerana tanpa bapa kita tiada di dunia.

Seorang bapa yang baik adalah bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anaknya serta memandu anak-anaknya ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi pengiktirafan lima bintang kepada bapa di negara ini kerana sikap bertanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.
Menurutnya kebanyakan bapa di Malaysia bertanggungjawab, prihatin, penyayang dan sedia berkorban untuk keperluan keluarga. Peratusan kecil kes berkaitan bapa tidak bertanggungjawab tidak memberi kesan kepada nama baik seseorang bapa.

Apabila saya membaca kenyataan ini saya berfikir sejenak dan bersetuju dengan kenyataan Shahrizat itu. Ketika cuti sekolah lalu saya sempat berkunjung ke tempat peranginan dan dapati ramai keluarga bercuti dengan membawa anak masing-masing. Cuti sekolah menjadi masa yang sesuai untuk bapa membawa anak-anak mereka bercuti dan ini menggambarkan ba hawa ikatan kukuh di antara seorang bapa dan anak yang sanggup meluangkan masa mereka untuk menggembirakan anak-anak.

Tidak hairanlah sektor mana sekalipun sama ada swasta mahupun kerajaan yang menggunakan peluang ini untuk membawa anak-anak mereka bercuti sehinggakan masa baik ini digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Hakim Syarie serta Peguam-Peguam Syarie untuk bercuti membawa keluarga masing-masing demi memenuhi tuntutan keluarga atas dasar sifat penyayang tadi. Seorang bapa penyayang akan dapat meluangkan masanya untuk anak-anak dan keluarganya.

Bercerita mengenai tanggungjawab seorang bapa, ia mengingatkan saya kepada anak guam saya, seorang bapa yang tidak berjumpa dengan tiga anaknya setelah bercerai lima tahun lalu. Bekas isterinya membawa ketiga-tiga anaknya ke tempat yang tidak diketahuinya sejak dari tarikh perceraian sehinggalah ke hari ini.
Puas beliau mencari anak-anaknya di merata tempat dengan bertanyakan kawan-kawan serta sanak saudara bekas isterinya, namun beliau menemui kegagalan kerana semua orang yang ditemui tidak mengetahui di manakah anak-anaknya berada.

Walaupun beliau tidak berjumpa dengan anak-anaknya dari tarikh selepas bercerai sehingga ke hari ini, beliau tetap memasukkan ke dalam akaun bekas isterinya RM800 sebulan sebagai bayaran nafkah untuk anak-anaknya tanpa gagal.

Walaupun hanya bergaji RM1,400 sebulan sebagai pemandu, beliau tetap meneruskan pembayaran nafkah bagi anak-anaknya walaupun beliau tidak menemui anak-anaknya.
Pada setiap hujung tahun beliau akan memperuntukkan lebih kurang RM1,000 sebagai perbelanjaan tambahan persediaan persekolahan anak-anaknya.

Saya sungguh terharu dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh beliau kerana tidak ramai bapa yang sanggup berkorban sedemikian di samping bertanggungjawab, prihatin serta sanggup berkorban untuk keperluan keluarga. Perceraian bukan penghalang baginya menunaikan tanggungjawab beliau sebagai bapa untuk menyediakan nafkah kepada anak-anaknya kerana beliau sedar bahawa memberi nafkah kepada anak-anak adalah wajib dan dia sedar dengan memberi nafkah lebih separuh daripada gajinya tidak mengurangkan rezeki Allah kepadanya, beliau merasakan rezekinya tidak pernah putus dengan dia membayar nafkah anak-anaknya.

Ini adalah segelintir kisah bapa bertanggungjawab yang dapat saya paparkan semoga ia menjadi iktibar kepada lelaki bergelar bapa. Namun demikian ada juga segelintir bapa sengaja cuai membayar nafkah anak-anak mereka sehingga dengan kegagalan itu menjejaskan kehidupan seharian serta per-sekolahan anak-anak.

Bapa tidak bertanggungjawab ini tidak menghiraukan keperluan anak mereka serta membiarkan ibu anak terbabit menyara keperluan nafkah anak-anaknya. Lebih malang lagi apabila bapa ini mengabaikan nafkah anak mereka walaupun adanya perintah berkaitan dengan pembayaran nafkah anak. Perkara ini sering juga kita dengar dan ia memberikan suatu persepsi buruk kepada lelaki bergelar bapa.

Sewajarnya perkara ini tidak berlaku, bak pepatah Melayu mengatakan ‘akibat nila setitik habis susu sebelanga’ dan ‘seekor kerbau yang membawa lumpur habis semua terpalit’. Disebabkan segelintir bapa tidak bertanggungjawab ini merosakkan nama baik seorang bapa. Tanggungjawab bapa adalah besar kerana ia amanah Allah. Setiap amanah yang Allah berikan akan disoal di akhirat kelak. Barang siapa memikulnya dengan penuh tanggungjawab akan mendapat balasan syurga dan barang siapa tidak menunaikan tanggungjawab itu akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Kita tidak mahu melihat segelintir bapa tidak bertanggungjawab ini membantutkan perkembangan persekolahan anak-anak disebabkan kegagalan bapa memberikan nafkah sewajarnya kepada anak-anak mereka. Atas dasar bagi mengelakkan kezaliman serta fungsi bapa sendiri sebagai ketua keluarga itulah Islam menetapkan seorang bapa bertanggungjawab untuk menyediakan nafkah kepada anak-anaknya meliputi makan minum, pakaian tempat tinggal perubatan serta keperluan pendidikan anak-anak berkenaan. Ini adalah keperluan asas yang perlu dipenuhi oleh seorang bapa bagi anak-anaknya.

Semua Enakmen Keluarga Islam negeri di Malaysia menetapkan bahawa bapa bertanggungjawab membayar nafkah anak-anaknya dan ia selari kepada hukum syarak. Kegagalan membayar nafkah oleh bapa tadi sekiranya ada perintah daripada Mahkamah Syariah bagi pembayaran nafkah boleh menyebabkan seorang bapa diambil tindakan pelaksanaan perintah termasuk potongan gaji mahupun penyitaan harta dan sebagainya bagi memastikan pelaksanaan perintah terhadap anak-anak tadi dapat dilaksanakan. Selain itu mahkamah boleh mengarahkan pihak yang ingkar membayar nafkah ke penjara sekiranya bapa gagal atau cuai membayar nafkah kepada anak-anaknya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Peguam Syarie Menulis: Hubungan seksual hambar antara punca keretakan rumah tangga

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 30/06/2010

Pasangan suami isteri patut rujuk al-Quran, hadis perbaiki hubungan kelamin

DUA tiga kali saya berfikir untuk menulis isu ini kerana ia sensitif bagi sesetengah orang. Namun, saya percaya semua boleh bersetuju bahawa hubungan intim suami isteri adalah perkara penting dalam hubungan suami isteri.

Antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan (12 peratus).

Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab (11.5 peratus), campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus), disebabkan ketagihan dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan selebihnya faktor lain.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Hubungan hambar disebabkan kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri, isteri berasa bosan kerana suami cepat klimaks setiap kali bersama, ketiadaan zuriat, suami mati pucuk, isteri tidak pernah atau jarang mencapai orgasm, juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi. Lebih parah apabila pasangan terjerumus dalam fenomena mempunyai kekasih gelap.
Kajian dibuat syarikat farmaseutikal Pfizer melalui The Asia Pacific Sexual Health and Overall Wellness atau APSHOW pada 2008, menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Pakar seksologi Pusat Kesihatan Seksual Australia, Dr Rosie King berkata, peratusan itu menunjukkan kadar yang tinggi berbanding purata peratus keseluruhan tahap kepuasan seks diperoleh di Asia Pasifik.

Katanya, fenomena itu berlaku berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di Malaysia lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Dalam Islam isu seks bukan sesuatu yang memalukan untuk diketengahkan. Hubungan seks suami isteri yang halal adalah suatu ibadah dalam rumah tangga seorang muslim. Hari ini, kita tidak didedahkan dengan hadis hubungan seks suami isteri yang lengkap.

Sebaliknya, lebih banyak merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor seolah-olah Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Walhal, ada banyak nasihat dalam hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan pasangan suami isteri menjaga pengurusan hubungan seks mereka.

Melayani hubungan seks seorang suami adalah bukti ketaatan isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi kamu melakukan jima’ (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawab Baginda: Bagaimana pendapatmu jika dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan pada suatu malam, Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar keluhan dan rintihan seorang wanita: “Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah! Jika tidak kerana takut kepada Allah SWT, tentu kaki tempat tidur ini sudah bergoyang. Tetapi, Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku. Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengenderai untanya.”

Selepas disiasat, rupa-rupanya suami wanita ini selalu berjihad fisabilillah. Lantas Saidina Umar menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di medan tempur hanya selama enam bulan saja.

Kisah itu memperlihatkan keperluan hubungan seks bukan saja keinginan kaum lelaki, tetapi juga keinginan semula jadi wanita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh-sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa-gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula.”

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Fatwa modul ESQ perlu seragam

Oleh Tuan Musa Awang

Brita Harian, 14/07/2010

Majlis fatwa mesti selesai isu segera untuk elak kekeliruan umat Islam

APABILA berita pengharaman modul program motivasi dan kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) oleh Mufti Wilayah Persekutuan minggu lalu, saya menerima banyak panggilan telefon dan emel bertanyakan perkara itu.

Bagi menyelaraskan pengeluaran fatwa di negara ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ditubuhkan pada 1970 di bawah peruntukan Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Fungsi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa mengenai perkara berkaitan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja, menyentuh masalah keagamaan berkaitan hal-ehwal umat Islam Malaysia secara keseluruhannya.

Jawatankuasa turut membincangkan masalah keagamaan di sesuatu negeri yang berlaku di negeri lain atau masalah keagamaan yang bersifat tempatan dan daerah dikemukakan ahli jawatankuasa negeri.

Jawatankuasa ini dianggotai pengerusi yang dilantik, mufti setiap negeri, lima orang ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang atau profesion undang-undang yang dipilih dan dilantik Majlis Raja-Raja.

Pengeluaran hukum atau pandangan syarak oleh jawatankuasa ini melalui dua cara, pertama ialah apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya diputuskan sesuatu hukum atau pandangan syarak mengenai sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat.

Mesyuarat jawatankuasa akan diadakan dan setelah memperoleh hukum atau pandangan syarak, maka ia akan dirafa’kan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Hukum atau pandangan syarak itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

Cara kedua ialah tanpa arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, iaitu melalui permohonan daripada masyarakat Islam atau pihak tertentu. Isu dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudian dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian yang ditubuhkan.

Seterusnya, satu kertas kerja berserta keputusan Mesyuarat Panel Kajian akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Keputusan diputuskan dalam muzakarah ini akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri.

Keputusan muzakarah ini tidak mengikat kerajaan negeri, namun ia sebagai majlis diskusi bagi menyeragamkan fatwa membabitkan kepentingan seluruh persekutuan.

Berbalik kepada ESQ, ia bukanlah pertubuhan dakwah atau kumpulan tarikat, tetapi sebuah syarikat yang menawarkan kursus motivasi dan kepemimpinan yang mengadunkan kepakaran berpidato tenaga pengajarnya dengan teknologi moden seperti layar besar, kesan bunyi serta pencahayaan.

ESQ kini bersifat nasional kerana ia diadakan di seluruh negara. Dilaporkan ia disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama, korporat dan pegawai kerajaan.

Saya melihat fatwa yang dikeluarkan membabitkan akidah umat Islam secara keseluruhan. Akidah ialah perkara penting, bukan bersifat furu’ seperti fatwa pengharaman rokok yang masih belum diwartakan melainkan di Selangor, Kedah dan Pahang.

Kesan fatwa yang dikeluarkan bukan saja terhadap penduduk Wilayah Persekutuan, tetapi juga seramai 65,000 orang yang pernah mengikuti program ini termasuk dari luar Wilayah Persekutuan.

Apakah akidah mereka juga tersasar seperti mana yang dikatakan wujud penyelewengan akidah dalam ESQ? Bagaimana pula dengan akidah beberapa orang kenamaan, tokoh agama dan korporat yang pernah mengikuti program ini?

Sesuatu fatwa hanya diwartakan selepas kajian mendalam dilakukan berhubung isu terbabit dan ia perlu bersifat al-yakin. Melihat kepada kronologi pengeluaran fatwa itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-90 pada 1 Mac 2010 belum membuat sebarang keputusan berhubung ESQ kerana menganggap hasil siasatan dan kajian sebelum itu masih bersifat dzanni.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa pada 14 April lalu membuat rumusan awal bahawa hasil penemuan panel pemantau ESQ masih bersifat dzanni, masih boleh dijelaskan. Bagaimanapun, pada 17 Jun baru-baru ini, fatwa berkenaan ESQ diwartakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Walaupun Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), memberi kuasa budi bicara kepada mufti mengeluarkan fatwa adakah ia boleh dibuat mendahului keputusan belum dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

Jika mufti negeri mendahului Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, di manakah peranan Jawatankuasa Fatwa dalam menyeragamkan pengeluaran fatwa di negara ini?

Lebih mengelirukan, fatwa diwartakan mendapat reaksi sebaliknya daripada beberapa mufti dan bekas mufti yang juga ahli atau bekas ahli dalam Jawatankuasa Fatwa yang menyatakan tiada unsur penyelewengan dalam program itu.

Reaksi ini menggambarkan seolah-olah fatwa dikeluarkan lebih bersifat ijtihad individu, melawan arus dan bertentangan pendapat majoriti. Lebih malang, fatwa itu menggambarkan panel syariah ESQ terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bekas mufti termasuk penasihat agama kepada Sultan Johor memberi nasihat yang salah dan menyeleweng.

Jika benar modul ESQ menyelewengkan akidah umat Islam, kenapa ia hanya diharamkan di Wilayah Persekutuan, tetapi halal di negeri lain. Adakah soal menentukan akidah, Islam atau tidak dan halal haram sesuatu perkara itu hak Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan saja?

Seksyen 36 akta sama memberikan kuasa kepada mufti meminda, mengubahsuai atau membatalkan fatwa yang dikeluarkan menurut Seksyen 34 akta itu. Jika perlu, peruntukan ini boleh dimanfaatkan bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Perkembangan ini, jika tidak ditangani segera, bukan saja mengelirukan, malah boleh menjatuhkan kewibawaan institusi fatwa di negara ini, sebagai penasihat utama kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Syariah lawyers want heavier penalties for Islamic offences

Syariah lawyers want heavier penalties for Islamic offences
By Syed Mu'az Syed Putra

July 21, 2010

KUALA LUMPUR, July 21 — The Malaysian Syariah Lawyers Association (PGSM) urged the government today to impose heavier penalties for Islamic offences and to standardise religious criminal laws in all states.

Its deputy president Musa Awang also claimed that the existing laws which provide for maximum imprisonment for three years, fine of RM5,000 and six strokes of the cane, had failed to deter Syariah offenders.

He said that the “3:5:6 formula” stipulated by the Syariah Courts Act 1984 was too light and outdated.

“It has been 20 years since the Syariah Courts Act 1984 was amended which has encouraged a lot of people to take the easy way out by pleading guilty, because the punishment is not as severe as the civil courts,” Musa told The Malaysian Insider.
“For offenders RM5,000 in 2010 is nothing because they can come up with the money in one day,” he added.

Musa said that amendments were necessary to protect the image of the Syariah courts.
“From a maximum fine of RM5,000, maybe it should be increased to RM20,000 or more. In Islam, gambling, adultery and consuming alcohol are considered major sins, but RM5,000 is too low,” he said.

Musa also wanted the punishment to be standardised in all states.
“For example in Selangor, if convicted for consumption of alcohol the punishment is fine and imprisonment, but in Pahang the punishment is fine, imprisonment or caning,” he said.

“The same with gambling, there are different punishments in Selangor and in other states. Same offence but different punishment,” said Musa.

He added that the different punishments could cause confusion.
“When different punishments are meted out, society will not respect the courts. We do not want this to happen,” said Musa.

“Is Selangor’s Islam different from the one in Pahang? Or is Islam in Pahang more extreme as it provides for caning for Syariah offenders? So there is a need for uniform laws so as to protect the image of the judiciary,” he added.

Peguam Syarie Menulis : Kaji penubuhan sekolah remaja hamil

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 11/08/2010

Elak wujud implikasi lain supaya tidak dijadikan alasan halalkan perzinaan

CADANGAN kerajaan Melaka menubuhkan sekolah khas bagi remaja hamil dan menggalakkan kanak-kanak atau remaja bawah umur terbabit berkahwin, walaupun bukan penyelesaian terbaik menangani kes buang bayi, dilihat sebagai langkah jangka pendek mengatasi isu itu.

Bagaimanapun, penubuhan sekolah itu perlu dikaji dengan teliti dari masa ke semasa bagi mengelak implikasi lain, supaya tidak dijadikan alasan menghalalkan perzinaan di kalangan masyarakat negara ini.

Khuatir juga pelajar yang keluar dari sekolah ini akan hilang masa depan kerana stigma dan label yang terpaksa digalas terutama dalam menangkis pandangan buruk masyarakat terhadap mereka seperti berlaku kepada pelajar Sekolah Henry Gurney suatu ketika dulu.

Jika sekolah ini diwujudkan, penekanan didikan agama seharusnya menjadi asas utama kurikulum supaya remaja yang tersilap langkah tidak mengulangi perkara sama selepas keluar dari sekolah itu.

Membenarkan remaja bawah umur berkahwin bermakna meletakkan beban dan tanggungjawab berat sebagai ibu atau bapa atas bahu mereka. Jika mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda.

Memikul tugas sebagai isteri atau suami pada usia remaja bukan saja menyebabkan perkembangan terbantut, tetapi juga menjejaskan psikologi, emosi dan pertumbuhan fizikal mereka.

Tidak ada larangan had umur untuk berkahwin dalam Islam. Hadis diriwayatkan Siti Aisyah, “Bahawasanya Nabi SAW telah mengahwini Aisyah sedang ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, mengikut seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Wali kepada anak perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah dan hakim akan menyiasat mengapa sebab perkahwinan, menyelidiki latar belakang serta keadaan fizikal sama ada anak itu mampu atau bersedia untuk berumahtangga, demi menjaga kepentingan anak itu.

Laporan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), perkahwinan bawah umur bagi tempoh 1 Januari 2005 hingga 12 Januari 2006 di Kelantan sebanyak 115 kes, 102 kes (Sabah) dan 100 (Sarawak).

Antara punca perkahwinan bawah umur ialah hilang minat bersekolah, tercicir daripada persekolahan, mendapat bakal suami yang mampu menyara kehidupan, mendapat persetujuan ibu bapa kerana perkahwinan dapat menyelamat masalah keluarga, berasal dari kampung pedalaman dan kurang pendedahan kepada kepentingan pendidikan.

Jika perkahwinan bawah umur dibenarkan, ini tidak bermakna wali boleh terus lepas tangan membiarkan anaknya mengharungi alam rumah tangga tanpa diberi panduan dan tunjuk ajar.

Saya berpendapat, wali masih perlu memantau anak remaja bawah umur yang sudah berkahwin dengan memberikan ilmu, nasihat dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa hingga dirasakan mereka mampu menguruskan rumah tangga.

Walau apa pun, agama adalah mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah sosial remaja. Jika ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan agama kepada anak mereka, maka sekolah sebagai institusi kedua anak mendapat pendidikan seharusnya mengambil alih tugas itu.

Larangan mendekati atau melakukan zina adalah jelas. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah Al-Isra, ayat 32)

Mutakhir ini, kita seakan malu menggunakan istilah zina sehinggakan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri menggantikan istilah zina dengan perkataan persetubuhan luar nikah. Walhal, perkataan zina itu dari Allah SWT dan sepatutnya menimbulkan kegerunan bagi orang beriman.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Menikahlah kalian, kerana bernikah itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, siapapun di antara kalian yang sudah mampu bernikah maka bernikah kerana pernikahan itu bisa menjaga pandangan dan menjaga kemaluan. Jika kalian belum mampu maka banyaklah berpuasa, kerana puasa itu perisai (terhadap syahwat).”

Larangan zina untuk menjamin masa depan, status waris dan wali anak dilahirkan, menjauhkan daripada dosa lain seperti pembuangan bayi, mencegah penyebaran penyakit kelamin, menyuburkan sikap saling percaya antara pasangan, mencegah timbulnya kebencian dan dendam terhadap sesama manusia.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM.

Peguam Syarie Menulis: Seksyen 302 langkah wajar elak buang bayi

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 18/08/2010

Hukuman berat dapat hentikan jenayah, tindakan tak berperikemanusiaan

KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.

Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat, menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama ada dirinya atau orang lain.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)

Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.” (Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Anak sepatutnya dibelai dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu sayangkan anak.

Melihat realiti pembuangan bayi yang menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah wajar.

Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda.

Qisas bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas, seseorang penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)

Pembunuhan dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan sengaja, pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja. Pembunuhan sengaja ialah membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat.

Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap sebagai membunuh dengan sengaja.

Pembunuhan separuh sengaja ialah seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat saja.

Bagi hukuman membabitkan penjara pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.

Langkah menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.

Sebaliknya, masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)